About us

My photo
"Aku bukan blogger tapi aku hanya seorang pendosa yang mencari jalan perubahan menuju redha Allah S.W.T."

30 August 2012

Cerpen: Siapa aku?

Siapa aku...?

“Zack, malam ni ada race. Kau nak join tak?” tawar Rafie, rakan terdekatku yang sering membawa aku kepada kehidupan liar. “Tapi Fie…parents aku…” Inilah hakikat kehidupan aku. Aku ingin berhibur dengan kawan-kawan aku tetapi parents aku sering mengawal kehidupan aku. Sejak kecil lagi aku telah dididik dengan tegas. “Wei Zack, sampai bila kau asyik nak berkepit dengan parents kau tu. Come onlah bro…” pujukan Rafie benar-benar menyesatkan aku agar mengikut jejaknya.

“Jangan harap papa akan benarkan!! Kamu jangan nak malukan family kita. Kamu pun tahu, kan keluarga kita ni keluarga terhormat.” Huh…tegasnya papa… Tidak fahamkah mereka bahawa aku juga perlukan kebebasan tapi…aku tak sampai hati melihat wajah kecewa mama… Maafkan Zack, mama…

            “Haha…kau ni pengecutlah Zack… Kau tak rasa rugi ke dunia remaja kau di penuhi dengan kawalan parents kau. Hei…waktu-waktu macam nilah kita kena enjoy. Tak sportinglah parents kau tu.” sindir Rafie sambil meninggalkan aku. Mungkin ada benarnya apa yang Rafie katakan tu. Aku remaja. Remaja yang memerlukan untuk kepuasan diri! “Fie…tunggu aku! Aku nak ikut kau!” jeritku sambil mengejar Rafie yang masih tidak jauh dari kedudukan aku tadi. Aku mulai tergoda dengan hasutan Rafie. Walaupun aku takut untuk ingkar arahan papa tetapi aku juga ingin cuba merasa erti kehidupan remaja seperti rakan-rakanku yang lain.

*                      *                      *

“Kemana kamu pergi baru sekarang kamu nak pulang?” tanya papa dengan wajah garangnya sebaik sahaja aku pulang ke rumah setelah dua hari aku tinggal di rumah Rafie. “Zack stay di rumah Rafie.” Jawabku tanpa memandang wajah papa. Tidak sanggup untuk aku bertentang mata dengan papa kerana aku tahu balasan yang akan aku terima kelak. Setelah lama papa berdiam diri di hadapanku, papa terus berlalu meninggalkan aku. Wajah papa menggambarkan seribu kekecewaan terhadap sikapku. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Rafie rupanya… “Sorry Fie sebab aku pulang tak beritahu pada kau tadi. I miss my family. Nanti kalau aku ada masa, aku lepak sana lagi.” segera aku matikan panggilan kerana aku tidak mahu mendengar sebarang sindiran dari Rafie.

“Zack, kenapa kamu semakin berubah? Mama dan papa kecewa dengan sikap kamu sekarang.” luluh hati aku mendengar kata-kata dari mama. “Mama…Zack dah besar. Zack mahukan kebebasan. Sampai bila hidup Zack akan dikawal? I’m bored, mama…” mama tersentak mendengar jawapan dariku. “Kamu keluar dari keluarga ni jika kamu nak hidup bebas.” celah papa yang tiba-tiba sahaja muncul di meja makan itu. Tergamam aku mendengar ugutan dari papa itu. “Papa memang dah lama nak halau Zack keluar, kan? Papa langsung tak pernah faham perasaan Zack.” Ah! Teruknya sikap aku… Aku memang benar-benar memalukan dan mengecewakan keluarga aku sendiri. “Up to you…” ujar papa lalu bangkit dari tempat duduknya. Adakah papa telah memberi kebebasan pada aku? Atau…papa tidak lagi menganggap aku sebagai anaknya? Jika benar apa yang aku fikirkan ini, aku akan pergi dari sini!

*                      *                      *

“Kau nak ikut aku pergi K.L tak? Aku nak cari kerja kat sana.” Sama ada aku nak ataupun tidak, aku terpaksa ikut Rafie kerana aku memang tiada pilihan lain sejak aku meninggalkan keluargaku. Aku memang bodoh! “Kau makin majulah bro… Ini yang aku bangga dengan kau. Kau memang seorang yang berani. Kau jangan risaulah… Dekat K.L nanti, macam-macam ada. Kau cakap je apa yang kau nak, mesti dapat punya. Terutamanya pasal perempuan.” celoteh Rafie sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur. Perempuan? Selama aku hidup, tak pernah sesaat pun aku berfikir tentang perempuan. Patutlah kawan-kawan aku menganggap aku seorang gay atau homoseksual. Entah kenapa aku langsung tidak mahu fikirkan tentang pasangan hidup aku. Bosan? Mungkin…

“Inilah K.L… Dunia metropolitan. Kau bebas nak lakukan apa saja yang kau mahu. Tapi, apa-apa hal, kita kena cari rumah sewa dulu kalau tak, tak pasal-pasal jadi muka kaki lima.” Aku hanya akur sahaja. Benar kata Rafie, Kuala Lumpur memang dunia yang bebas. Pelbagai ragam yang dapat dilihat ketika berada di sini. Anak-anak muda di sini bebas melakukan apa sahaja yang mereka inginkan…Bercumbuan? Berpelukan? Hm…tiada siapa mahu peduli apa yang mereka lakukan. Tiada keluargakah mereka ini?

*                      *                      *

“Fie, apa aktiviti kita malam ni?” aku mulai berjinak-jinak dengan dunia liar. Jika sebelum ini, Rafie sering memujukku agar mengikutinya ke kelab-kelab hiburan tetapi hari ini berlaku sebaliknya. Terurai senyuman Rafie apabila aku semakin maju sepertinya. “Kita cari perempuanlah…” aku turut tersenyum nakal dengan idea Rafie yang sememangnya sudah menjadi rutin harian Rafie. Rafie memang kaki perempuan. Berbeza dengan aku yang masih kekok dan janggal ketika bersama perempuan. Mungkin kerana aku adalah anak lelaki tunggal dalam keluarga dan memang sejak kecil lagi aku belajar di sekolah yang kesemua pelajarnya adalah lelaki. Papa sengaja tidak mahu aku belajar di sekolah campur kerana takut aku terjebak dengan cinta monyet dan seterusnya mengundang keburukan terhadap keputusan peperiksaan aku.

“Wei… Zack, termenung jauh nampak? Kita dah sampailah…” terhenti lamunan aku apabila Rafie menepuk bahuku. “Zack, ini kawan aku, Zara.” Aku memandang keseluruh penampilan gadis yang dipeluk oleh Rafie itu. Huh…seksi sungguh. Wajarlah ianya menjadi pilihan Rafie. Berbaju t-shirt tanpa lengan yang bercorak polka-dot serta seluar jeans pendek paras atas lutut. Peliknya fesyen walaupun simple. Tak takut sejuk ke perempuan ni? Oh…mungkin setelah dimanjakan oleh Rafie, dia akan berasa ‘panas’. “Hai Zack, kenalkan…ini Balqis, kawan I.” Aku memandang gadis berwajah tenang itu setelah diperkenalkan oleh Zara. Mengapa sejak tadi aku tidak menyedari kehadiran gadis ini…? “Wei, Zack…tadi kau yang beria ajak aku keluar. Sekarang bila dah keluar, kau pulak macam orang bangang je. Kau okey ke tidak ni? Nak kata mabuk, minum pun belum…” aku hanya mampu memandang kosong omelan Rafie itu. “Zack, aku dengan Zara pergi minum dulu, kau temankanlah Balqis tu. Okey? Chiao..” ujar Rafie sambil memimpin Zara masuk ke dalam kelab tersebut.

Balqis? Hm…aku tak tahu macam mana nak mulakan perbualan antara aku dan dia. “Er…awak tak mahu masuk?” patutkah aku mengajaknya masuk ke tempat ini? Kenapa dengan perempuan ni…nak aku dukung ke baru dia suka? Pelik betullah perempuan zaman sekarang ni. Bertambah pelik aku melihat penampilan antara Balqis dan Zara tadi. Gadis di hadapan aku ini hanya berseluar jeans panjang serta memakai baju t-shirt lengan panjang. Tiada sedikitpun gaya gadis yang sering mengunjungi kelab malam. “Er…kalau saya tanya, awak tolong jawab ye. Awak sebenarnya tak biasa dengan tempat-tempat macam ni, kan?” pertanyaanku mendapat respon positif dari gadis tersebut apabila dia menjeling kearahku. “Awak cakap sajalah. Saya tak bunuh oranglah. Saya ni bukannya orang jahat pun.” Huh…senyap lagi. Suasana ini memang membosankan. Tidak…sebenarnya perempuanlah yang memang membosankan!

Huh…boleh gila aku kalau lama-lama dengan perempuan macam ni! Lebih baik aku balik tidur jelah. Hilang mood aku nak enjoy. “Maaf…” gadis itu mulai bersuara apabila aku mulai melangkah pergi. Ingatkan bisu tadi… “Maaflah jika saya buat awak bad mood. Tapi, awak boleh tolong saya?” Lecehnya…kalau aku tak tolong, difikirnya aku sombong…Perempuan memang leceh. “Tolong apa?” jawabku tanpa memandang wajah gadis itu. “Tolong hantar saya pulang.” Tanpa melengahkan masa, aku terus bersetuju untuk menghantarnya walaupun terpaksa. Aku mendiamkan diri sepanjang perjalanan tersebut memandangkan gadis itu turut berdiam diri. Hanya sepatah dua kata sahaja yang keluar dari mulut gadis itu kerana ingin memberitahu jalan menuju ke rumahnya.

*                      *                      *

“Mama…Zack sayangkan mama…Zack janji, Zack akan jaga mama sampai akhir hayat Zack…” aku memeluk mama dengan seeratnya. Aku amat menyayangi mama. Kepada mamalah aku sering mengadu. Kepada mama jugalah tempat aku bermanja jika aku dimarahi papa. “Zack, kamu memang anak yang baik. Mama akan sayang Zack jika Zack jadi budak yang baik, pandai, dan hormat orang tua…” senyuman mama benar-benar menyenangkan hati aku. Eh, mama nak kemana tu…? Mama…tunggu Zack, Mama….! Mama jangan tinggalkan Zack….! Mama…!!! “Zack…bangun Zack…!” Huh…mimpi rupanya… “Kau ngigau ke Zack? Tetiba je menjerit tak tentu pasal.” Nasib baik Rafie kejutkan aku... “Thanks Fie sebab sedarkan aku..” Rafie terpinga-pinga. “Eh, apa kena tetiba kau nak packing bag ni. Kau nak pergi mana? Hei…kau okey ke tak ni?” Aku tak gila Rafie…aku nak pulang…pulang ke pangkuan keluarga aku. “Jangan bagi tahu aku yang kau nak balik…” duga Rafie apabila tidak mendapat jawapan kepada persoalannya tadi. “Fie…aku rindukan mama aku. Tadi aku mimpikan dia. Aku tak nak kehilangan dia. Aku sayangkan dia…” Rafie terdiam mendengar ucapanku. “Up to you…” Aku tahu Rafie tidak setuju dengan keputusanku ini tetapi aku nekad untuk pulang. Maaf Rafie….

Sewaktu aku sedang menunggu bas untuk aku pulang ke tanah airku, tiba-tiba aku terserempak dengan seseorang yang pernah aku kenali. Ya…memang dia. “Balqis?” gadis itu menoleh kearahku. Namun, pandangannya tetap dingin. Tapi, kenapa tiba-tiba aku menegurnya…? Sudah gilakah aku? Bukankah aku membencinya kerana layanan dinginnya terhadap aku? Apa yang dah jadi dengan aku ni? “Saya kenal awak ke?” Huh…perempuan ni memang melampau! Tidak ingatkah dia bahawa aku pernah menghantarnya pulang? “Tak…awak tak kenal saya dan mungkin saya yang silap orang.” Mengapa gadis sombong ini masih merenung aku? Sengajakah dia nak menduga aku? “Zack…maaf… bukan saya sengaja nak buat awak marah. Saya kenal awak. Awaklah yang menghantar saya pulang tempoh hari. Terima kasih.” Petah juga gadis ini bercakap. Ingatkan pendiam sangat… “Awak nak ke mana dengan bawa beg besar-besar ni?” Wah…rajin pula dia bertanya. ‘Penting ke untuk awak tahu?’ Patutkah aku memberi jawapan sedemikian? “Saya tak paksa pun awak jawab soalan saya tadi.” Gadis itu mulai bersuara apabila aku tidak memberi sebarang jawapan kepada soalannya tadi. Bengang  ke? Baru dia tahu macam mana perasaan aku masa dia tak layan soalan aku dulu. Eh…kenapa gadis ni naik bas yang sama dengan aku? Dia ikut aku ke???

Sesampainya aku tanah air, aku terus sahaja mencari teksi untuk menghantar aku pulang ke rumah keluargaku. Tunggu…mana Balqis? Bukankah tadi dia satu bas dengan aku? Ah! Buat apa aku pedulikan dia. Perempuan tak penting dalam hidup aku... Hanya mama sajalah perempuan di hati aku. Kerana mimpi buruk itulah membawa aku pulang ke tanah air setelah berbulan-bulan aku meninggalkan rumah tanpa mempedulikan perasaan mama dan papa yang selama ini telah membesarkan aku bagai menatang minyak yang penuh. Aku benar-benar menyesal dengan apa yang telah aku lakukan ini.

            Mama…Zack dah pulang… Tak sabarnya aku untuk memeluk mama. Tentu mama ternanti-nantikan kepulangan aku. “Mama! Zack pulang…” jeritku sambil mencari-cari kelibat mama di seluruh halaman rumahku itu. Kemanakah mama? Waktu-waktu begini selalunya  mama akan berada di taman mini yang terletak di halaman belakang rumah, tapi hampa…mama tiada di situ. Mengapa rumah ini sepi…? Kemanakah semua penghuni di rumah ini pergi? “Mama…. Papa…” Hairan. Orang gaji yang selalu menguruskan rumah juga tiada. Kereta? Oh, ya…jika kereta tiada di garaj, ini bermakna mama dan papa sudah keluar…

            “Zack…bangun Zack…” Siapalah yang mengganggu mimpi aku ni! Mek Jah rupanya… “Mek, mama papa belum pulang lagi ke?” muka Mek Jah kelihatan muram. “Maaflah Mek, tadi Zack pulang, Zack terus tertidur dekat sofa ni. Letih sangat.” Mek Jah berlalu dengan wajah yang penuh kesedihan. “Mek…tunggu sekejap. Kenapa muka Mek muram je ni. Tak suka ye Zack pulang? Papa mesti larang Zack untuk jejak rumah ni lagi, kan? Mek…papa dan mama mana? Zack nak minta maaf dengan mereka. Zack tahu Zack dah banyak buat salah. Zack menyesal sangat-sangat dengan apa yang Zack lakukan selama ni.” Air mata Mek Jah mulai mengalir. Mek Jah menangis? Menangis kerana akukah? “Zack…kenapa kamu lambat pulang…” Apa yang Mek Jah cakap ni? Aku lambat? Apa kaitannya dengan kepulangan aku? “Mek Jah…kenapa ni… Oh, Mek Jah nak balik kampung ye. Sorrylah…Zack tak tahu pun yang mama dan papa tak ada kat rumah dan Mek Jah pulak nak balik kampung. Okey, sekarang ni Zack dah balik, Mek Jah pun dah boleh ambil cuti. Biar Zack yang jaga rumah.” Mek Jah menggelengkan kepalanya. Apa yang Mek Jah maksudkan ni? Tak faham betul aku dengan perangai orang-orang tua ni. “Zack…mama papa Zack…dah tiada…” apa yang Mek Jah merepek ni? Ngigau ke Mek Jah ni? Atau aku yang masih dalam mimpi… Ah! Sudahlah.. malas aku nak layan. Lebih baik aku pergi mandi, lepas tu pergi lepak. Huh..enjoy gila hidup aku!

*                      *                      *

            “Manalah mama dan papa ni…dari aku balik hari tu sampai sekarang dia orang masih tak pulang-pulang. Busy sangat ke sampai nak bagi ruang pada aku pun dah tak ada masa?” Eh…itukan Balqis…?? Apa dia buat dekat sini? “Balqis!” gadis itu menoleh apabila namanya dipetik. Huh…dinginnya pandangan dia terhadap aku…aku benci pandangan sedemikian. “Awak intip saya ke selama ni?” gadis itu hanya menjeling kearahku. “Awak jangan nak perasan. Saya balik kampung dan sekarang saya nak pulang ke K.L semula. Awak ingat awak tu siapa nak diintip?” Huh! Pedasnya ayat dia…sombong betul! Tapi, perempuan ni memang jadi pilihan aku. Sombong dan mencabar… Ya, dialah gadis impian aku. “Tunggu…awak nak saya hantarkan awak pulang ke K.L tak? Saya tengah free ni…” gadis itu tetap jual mahal dengan tawaranku. “Sama ada awak rela atau tidak, saya tetap akan hantar awak.” Maaf Balqis kerana saya terlalu memaksa awak untuk mengikut kehendak saya. Ish…apa kena dengan aku ni? Sejak bila aku menghambakan diri pada perempuan…Takkanlah aku…jatuh cinta dengan perempuan ni?

            “Terima kasih.” Hanya ucapan itu sajakah yang diberi untuk aku? “Maaf sebab menyusahkan awak…sekali lagi, terima kasih.” Manisnya senyuman dia… Ah! Aku memang sudah angau… Kemana hala tuju aku sekarang? Ke rumah Rafie? Adakah Rafie masih marah denganku? Sekali sekala datang menjenguk, apa salahnya… Aku terus memandu ke rumah sewa milik Rafie.

            Eh, kenapa ada suara perempuan dalam rumah Rafie? Rafie langgan perempuan ke? Sebaik sahaja aku membuka pintu rumah, sungguh aku tak sangka bahawa Rafie melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam rumah sewanya sendiri. Kelihatan serbuk-serbuk putih bertaburan di atas lantai manakala Rafie sudah lalok dengan dunianya beserta perempuan-perempuan murahan yang di bawa dari kelab malam. Selama aku belajar hidup berdikari bersama Rafie, tidak sedikit pun aku menyentuh benda-benda haram itu. Ternyata rakan baikku sendiri terjebak dengan benda itu malah lebih teruk lagi melakukan dosa dengan meniduri beberapa orang pelacur yang turut mabuk seperti Rafie. Saat itu juga aku terus menelefon pihak berkuasa untuk menangkap Rafie serta perempuan-perempuan yang bersama Rafie ketika itu. Aku tidak mahu lagi mengganggap Rafie sebagai sahabatku. Dia bukan lagi rakan baikku malah sebagai kawan pun aku tidak mahu terima!

*                      *                      *

            Berita tentang penangkapan Rafie atas kesalahan menagih dadah dan melakukan perbuatan zina menjadi berita muka surat hadapan surat khabar pagi ini. Mujur pihak polis sudi merahsiakan identiti aku sebagai saksi jika tidak, tentu Rafie akan berdendam dengan aku sampai bila-bila. Benar kata papa dahulu agar jangan mengikut jejak kehidupan Rafie yang tidak bermoral itu. Papa…kemanakah papa menghilang…? Zack menyesal sebab ingkar arahan papa… Mama juga pernah menasihati aku namun aku tetap berdegil untuk mengikut jejak Rafie. Aku menyesal….

            “Mek Jah, bila papa dan mama akan pulang? Zack rindukan mereka… Sunyi bila dia orang tak ada di sisi Zack. Masa Zack dekat K.L dulu, Zack selalu teringatkan mama dan papa tapi Zack bodoh… Zack ego sebab lebih pentingkan kawan daripada keluarga. Mek Jah rasa, papa dan mama boleh terima Zack semula tak?” setiap kali aku bertanya tentang mama dan papa, Mek Jah sering kali mengalirkan air mata. Mengapa? Sedih sangat ke cerita aku ni? “Zack…mereka tak akan kembali… Yang pergi, tetap akan pergi untuk selamanya.” Apa maksud Mek Jah ni? Mek Jah rindukan arwah suaminya ke? “Mek Jah jangan berkais-kais boleh tak? Zack tak fahamlah. Straight to the point!” Aduh…kenapalah dengan orang tua pun aku nak meninggi suara. Teruknya aku ni… “Zack, mereka dah tiada. Mama papa Zack dah meninggal.” Tidak salah dengarkah aku? Atau…Mek Jahkah yang salah cakap? “Mama papa Zack meninggal kerana kemalangan jalan raya. Mereka meninggal di tempat kejadian. Kereta yang dipandu terbakar dan mayat mama dan papa Zack rentung. Bulan lepas, pihak hospital ada meminta pewaris untuk datang menuntut mayat tetapi waktu tu Mek Jah tak tahu nombor telefon Zack. Mek Jah tak tahu nak buat apa lagi masa tu. Akhirnya, mayat mereka disimpan oleh pihak hospital sehingga adanya pewaris yang datang menuntut.” Benarkah apa yang di beritahu oleh Mek Jah ini….? Mama papa…dah meninggal? Tak…tak mungkin…. Mama papa tak mungkin dah meninggal….tak mungkin!!! Mama papa!!!

*                      *                      *

            Ternyata semua mimpi buruk yang aku alami selama ini ada maknanya… Aku benar-benar menyesal atas semua kesalahan yang aku lakukan terhadap mama dan papa… Aku tak sempat memohon maaf terhadap mereka…aku anak yang derhaka… aku memang anak yang tak guna…. Berada di hadapan kubur mama dan papa bagaikan baru semalam bermain dengan seronok bersama mereka. Ketegasan papa, senyuman mama, senda tawa mereka… Tuhan…aku terlalu rindukan semua kenangan ketika bersama mereka dahulu…

            Sekembalinya aku ke Kuala Lumpur adalah untuk meneruskan kerjaya papa sebagai ahli perniagaan yang berjaya. Akulah pewaris harta papa. Sungguh aku tak menyangka bahawa papa masih mengganggap aku adalah anaknya dan pewaris tunggal hartanya. Aku tidak mahu mengecewakan papa dan aku ingin membuktikan pada papa bahawa aku juga boleh berjaya sepertinya. Papa…Zack janji Zack akan buat semua orang bangga dengan papa kerana Zack boleh jadi seperti papa. Zack sayangkan papa dan mama…

            “Balqis…???” tersentak aku apabila melihat gadis yang aku pernah cintai kini bagaikan perempuan murahan yang bertempiaran di tepi jalan mencari lelaki-lelaki yang kemaruk belaian dari perempuan. “Saya tak kenal awak.” Tak kenal atau sengaja buat-buat tak kenal? Kenapa dia buat aku macam ni? Aku tak sangka perempuan yang berjaya mencuri hati aku untuk pertama kali dalam hidup aku kini menjadi perempuan pertama sekali yang paling aku benci! Jijik! Wajarlah aku membenci perempuan kerana perempuan yang aku pernah kenali selama ni semuanya tak boleh pakai. Tapi aku yakin, aku akan temui perempuan yang benar-benar akan sempurnakan hidup aku suatu hari nanti seperti mana papa temui perempuan sebaik mama…
           
Siapa aku? Aku hanya manusia biasa yang mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling namun semua itu hanya hiburan semata-mata kerana hidup ini hanya sementara. Setiap kejahatan yang dilakukan pasti akan ada balasan malahan setiap perkara yang berlaku tentu ada hikmahnya seperti mana yang terjadi dalam kehidupan aku kerana aku adalah aku….

-TAMAT-

Nukilan oleh: Leenz Armaniey

Cerpen ini ditulis atas permintaan Fuad namun plot cerita tidak seperti yang dia ingini. Tapi tak mengapa, asalkan siap hati pun puas. Kalau tak puas hati, kenapa tak cuba sendiri? Walaubagaimanapun, akan kusimpan cerpen ini sebagai salah satu koleksiku. Short stories is my life. Terima kasih kepada semua pembaca! :-)

1 comment: