Fobia cinta. (Part 1)
“Weh Nashrin, kau tengok siapa tu?” tanya Naza yang sejak tadi memerhatikan rakan sekerjanya sedang tersenyum melihat seorang wanita. Naza mengekori mata Nashrin. “Oh, perempuan tu.” Nashrin langsung memandang wajah Naza. Merasa seakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Naza mengenai wanita tersebut. “Kau kenal dia ke?” tanya Nashrin. “Tak. Tapi aku ada dengar jugak cerita pasal perempuan tu.” ujar Naza. Nashrin kelihatan teruja untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang Afiera. “Tell me everything about her.” ujar Nashrin, serius. Naza memandang Nashrin dengan penuh hairan.
* * *
“Fira, ada orang berkenan dengan kau.” ujar Hanna sambil berlari anak kearah Afiera. Afiera tidak melayan. Matanya masih fokus pada fail kerja yang perlu disiapkan petang itu juga. “Wei, kau dengar tak ni? Aku cakap ada orang nak kenal dengan kau.” ujar Hanna sambil mengoncangkan badan Afiera. “Kau nampak tak aku tengah sibuk ni?” ujar Afiera dengan tegas. “Ha inilah punca-punca kaum wanita sekarang kebanyakannya memegang gelaran andartu terhormat.” sindir Hanna. Jari jemari Afiera yang sedang lancar menaip kertas kerja tadi langsung terhenti. Matanya menjeling tajam kearah Hanna yang membuat muka selamba. “Sebelum nak mengata aku, boleh tak kau cermin dulu diri kau tu?” Afiera memulangkan paku buah keras kepada sindiran Hanna tadi. “Amboi, balas balik nampak? Hello, walaupun umur aku lebih tua dari kau, atleast aku ada boyfriend. Bukan macam kau, bujang trang tang tang. Bila ada orang nak kenal dengan kau, kau buat-buat jual mahal. Tak laku sampai ke tua karang, baru tau.” ujar Hanna sambil mengherot-herotkan bibirnya. Bengang dengan sindiran Afiera tadi. Afiera malas mahu berdebat dengan rakan sekerjanya itu. Tahu benar dia dengan sikap Hanna yang tidak mahu kalah dengannya.
“Aku tak faham betullah dengan perangai si Fira tu. Apa yang susah sangat entah nak bagi peluang pada semua lelaki yang nak kawan dengan dia. Dia ada rupa tapi hati dia macam batu.” ujar Hanna sewaktu keluar makan tengahhari dengan rakan sekerja yang lain. “Weh, jangan-jangan Fiera tu....” belum sempat Najwa, rakan sekerja merangkup kawan baik Hanna meneruskan ayatnya, tiba-tiba bahunya ditepuk oleh Hashima, senior mereka. “Fira tu perempuan normal bukan pecinta kaum sejenis yang macam korang fikirkan. Korang ni kalau tak mengata, memang tak sah kan?” marah Hashima sementara menunggu makanan yang dia beli sedang disiapkan. “Kitorang bukan nak mengata kak, tapi Hanna kesian dengan si Fira tu. Sampai bila dia nak hidup bujang macam tu? Lagipun, dia tu kan anak sulung dalam family dia. Adik dia sendiri dah kahwin, dia pulak tak kahwin-kahwin. Bukannya tak ada lelaki nak kat dia, ramai kak. Tapi dia tu je memilih sangat.” ujar Hanna. Najwa mengiyakan kata-kata Hanna. “Eh, kita sebagai perempuan mestilah kena memilih. Nanti kalau dah tersalah pilih, kita juga yang menyesal kemudian hari, betul tak Najwa?” ujar Hashima. Najwa mengganggukkan pula kata-kata Hashima. “Kau ni dah kenapa Wa? Tadi kau sokong aku, lepas tu kau sokong Kak Ima pulak? Kau ni macam lalang tau tak.” omel Hanna, bengang apabila kata-katanya ditepis oleh Hashima
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Siapa ni?”
Afiera membalas.
“Your secret admire.”
* * *
“Nah, untuk kau.” ujar Hanna sambil menghulurkan bungkusan makanan kepada Afiera. Afiera terpinga-pinga. “Aku tak ada order apa-apa pun tadi.” ujar Afiera sambil menolak pemberian Hanna. “Memanglah tak ada tapi ada orang yang suruh aku berikan makanan ni pada kau. Kau ambil jelah.” desak Hanna. “Siapa dia? Aku tak naklah.” ujar Afiera. “Kau ni memang jenis tak reti bersyukur ke? Cukup baik orang tu sudi tapaukan untuk kau sebab risau nanti perut kau masuk angin. Sudah-sudahlah dengan perangai sombong kau tu.” marah Hanna. Wajah Afiera mulai memerah. Jantungnya berdegup laju. Tangannya terasa panas. Ingin sahaja dia menampar wajah Hanna akibat kelancangan mulut rakan sekerjanya itu. Mujur Hashima yang kebetulan ingin ke meja Afiera langsung menarik Hanna jauh dari situ. “Boleh tak jangan buat kecoh kat sini? Nanti kalau bos dah masuk campur, Hanna yang dapat susah tau. Pergi buat kerja.” tegas Hashima.
“Boleh kita jumpa?”
Berderau darah Afiera apabila orang yang dikenali sebagai peminat rahsianya tiba-tiba mengajak untuk bertemu.
“Saya tunggu awak di cafe bawah lepas balik kerja nanti. See you soon.”
Afiera memandang lama pesanan ringkas tersebut. Hatinya teragak-agak untuk menerima pelawaan orang misteri itu. Dalam ragu-ragu, dia juga ingin tahu siapakah yang berada disebalik pesanan ringkas yang dihantar.
Seperti yang dijanjikan, Afiera turun ke cafe. Dari jauh terlihat seorang lelaki bertubuh tinggi lampai, berkulit putih dan berpakaian kasual. Wajahnya tidak kelihatan kerana lelaki itu sedang membelakangi Afiera. Sewaktu lelaki itu memalingkan wajahnya, Afiera langsung berpura-pura tidak melihat. Tujuannya untuk berjumpa dengan lelaki itu kerana ingin memberi amaran supaya berhenti mengganggunya lagi. Lelaki itu tersenyum melihat Afiera. Dia langsung mendekati Afiera yang tidak jauh dari tempatnya tadi “Awak dah lama sampai?” ujar lelaki itu. Afiera hanya membatukan diri. Namun jantungnya berdegup kencang, risau dirinya akan diapa-apakan. “Jom kita duduk situ.” ujar lelaki itu sambil menunjukkan mejanya tadi. “Tak apalah. Saya cuma nak cakap, tolong jangan kacau saya lagi. Saya rimas dan saya tak berminat untuk kenal dengan awak.” ujar Afiera dengan tegas. “Saya cuma nak jadi kawan awak.” ujar lelaki itu dengan lembut. “I'm not interested.” ujar Afiera sambil berlalu pergi tanpa menoleh kearah lelaki itu.
Sewaktu Afiera sedang menunggu kenderaan awam untuk pulang kerumah, tiba-tiba sebuah kereta jenis Honda Vios berwarna putih berhenti di hadapannya. Bulat mata Afiera apabila melihat lelaki yang keluar dari perut kereta itu ternyata adalah Khaidir, duda anak tiga yang pernah dikenalkan oleh rakan sekerja Afiera dulu. “Hai sayang, dah nak balik ke? Marilah abang hantarkan...dengan kereta baru abang ni.” ujar Khaidir sambil mengusap-usap kereta Honda-nya itu. Afiera pura-pura tidak mendengar. Lelaki itu mulai mendekati Afiera yang sedang berdiri tegak memandang kearah lain. “Dulu Fiera cakap kalau abang mampu beli kereta ni, Fiera akan terima abang semula.” Afiera mencebik. “Jomlah...” ujar Khaidir sambil menarik tangan Afiera. Afiera terkejut dengan tingkah berani Khaidir. “Lepaskan aku! Kau dengar sini, kau beli kapal terbang sekalipun, aku takkan pernah terima kau.” tegas Afiera. Genggaman Khaidir semakin erat. “Kau jual mahal dengan aku ye.” Khaidir memaksa Afiera untuk masuk kedalam keretanya. “Weh, apahal ni?” tegur seorang lelaki apabila melihat kekecohan tersebut. “Kau jangan masuk campur hal rumah tangga aku.” ujar Khaidir. “Dia bukan siapa-siapa. Tolong saya.” ujar Afiera sedikit menjerit. Apabila mendengar penjelasan Afiera, lelaki itu terus menarik Afiera keluar dari kereta. “Berani kau nak buat onar kat sini. Kau blah sekarang sebelum aku sendiri yang akan campak kau masuk lokap.” Khaidir terdiam dan segera pergi dari situ sebelum dirinya diheret ke balai oleh lelaki yang menolong Afiera tadi. “Siapa lelaki tu?” Afiera sekadar menggeleng pura-pura tidak mengenalinya. “Awak tunggu teksi ke? Kalau awak tak kisah, saya boleh hantar awak balik.” ujar lelaki yang menyelamatkan Afiera itu. Afiera menolak. “Macam mana kalau lelaki tadi datang balik kesini?” Afiera terdiam. Akhirnya dia akur apabila mengingatkan betapa nekadnya Khaidir untuk menculik dirinya. “Nama saya Amrizal, panggil saya Am je.” ujar lelaki tersebut. Afiera menggangguk faham.
* * *
Semenjak insiden tempoh hari, Afiera menjadi terbuka hati untuk mengenali dengan lebih dekat dengan lelaki bernama Amrizal itu. “Ada orang tu dulu jual mahal, sombong, konon-konon hati dah tak boleh terima lelaki dalam hidup dia. Eh tau-tau je sekarang dah macam belangkas.” sindir Hanna. “Yeke? Maknanya sekarang Fiera dah terima mamat hensem tu lah ye? Ishhh untung badan.” sahut Najwa. Berdesing telinga Afiera mendengar rakan sekerjanya sedang bergosip tentang dirinya. “Daripada korang buang masa dengan mengumpat hal orang lain, lebih baik korang buat amal jariah banyak sikit. Sekurang-kurangnya dapat pahala.” celah Afiera. Najwa terdiam mendengar ayat pedas Afiera.
Selama tiga bulan hubungan Afiera dan Amrizal berjalan dengan baik, sehinggalah suatu hari datang seorang perempuan yang mengaku dirinya merupakan kekasih Amrizal. “Aku dengar kat office ni ada perempuan cuba kacau boyfriend aku. Kau rasa siapa?” ujar Huuda sambil menjeling kearah Afiera. Huuda merupakan pekerja senior di cawangan anak syarikat tempat Afiera bekerja. “Siapa nama boyfriend akak?” Hanna pura-pura bertanya. “Amrizal. Pekerja di bahagian stor.” ujar Huuda, sengaja nama Amrizal dikuatkan. Hanna pura-pura terkejut walhal dialah yang merancang supaya Afiera digelar perampas. “Laa...Amrizal tu boyfriend akak rupanya. Kalau Hanna tahu Am tu dah ada akak, awal-awal lagi Hanna dah larang dia berkawan dengan Afiera. Eh, terlepas cakap pulak.” ujar Hanna sambil menutup mulut. “Aku dah lama tahu. Dan aku memang sengaja suruh Am ngorat perempuan ni, saja nak uji sejauh mana dia mampu tutup pintu hati dia tu kononnya. Last-last, cair juga.” ujar Huuda sambil bergelak tawa di belakang Afiera. Afiera pura-pura tidak mendengar. Walhal hatinya sudah hancur berderai. “Apa korang buat kat sini? Hanna, pergi balik tempat dan sambung kerja. Huuda, kau pulak buat apa kat sini? Aku panggil kau kesini untuk masuk bilik meeting bukan bergosip dengan diorang ni semua. Cepatlah, meeting dah nak start tu.” ujar Hashima yang sejak tadi memerhatikan Hanna dan Huuda yang ingin mengenakan Afiera.
Amrizal cuba menghubungi Afiera namun gagal. Dia menemui Afiera di pejabat, tetapi sengaja Afiera menyembunyi diri dari lelaki itu. Dia tidak mahu dirinya digelar perampas seperti yang dirancang oleh Hanna dan Huuda tempoh hari. Biarlah hatinya dilukai untuk kesekian kalinya daripada terus-terusan dipermainkan begini. “Fira, sebenarnya ada benda akak nak minta tolong dengan Fira ni.” ujar Hashima sewaktu dia menemui Afiera secara peribadi. “Selama ni akak perhatikan je gelagat diorang tu untuk kenakan Fira. Akak tahu Fira dengan Am hanya sekadar berkawan. Akak kenal adik akak ni macam mana. Diam-diam Fira, kalau disimbah minyak, confirm diorang akan terbakar.” ujar Hashima. Afiera terharu kerana pada akhirnya ada juga orang yang mengenali dirinya secara peribadi. “Kak Ima nak minta tolong apa tadi?” tanya Afiera, kembali kepada tujuan asal Hashima tadi. “Akak tak tahu nak cakap macam mana. Tapi Fira jangan fikir akak nak pergunakan Fira pula ye. Akak tak ada niat macam tu pun.” ujar Hashima. Afiera memandang hairan dengan apa yang cuba disampaikan oleh kakak seniornya itu. “Fira tahu tak sebenarnya Amrizal tu suami orang?” bulat mata Afiera mendengarnya. “Dia bukannya duda anak dua ke kak?” Hashima menggeleng. Menafikan penyataan tersebut. “Dia masih berstatus suami orang.” Afiera mengeluh panjang. “Huuda tu isteri dia ke?” tanya Afiera, mencari kepastian. “Bukan. Huuda tu cuma lombong emas bagi Amrizal je. Yelah, perempuan tu kan suka menunjuk-nunjuk barang kemas yang dia ada. Bila si Am ni tahu Huuda tu banyak duit, dia kikislah habis-habisan.” ujar Hashima sambil tertawa kecil. Terlopong Afiera mendengar. Afiera juga turut tertawa mendengar cerita Hashima. “Habis tu yang selama ni dia berlagak sangat sampai cakap Fira nak rampas boyfriend dia tu, sebenarnya dialah yang perampas kan?” Hashima menggangguk setuju. “Akak sebenarnya tahu pasal skandal diorang berdua cuma akak malas nak ambil port sangat. Akak nak tengok sejauh mana si Huuda mampu tanggung lelaki kaki kikis macam si Am tu.” Afiera mengekek ketawa. “Habis, isteri Am tu tahu ke pasal ni?” tanya Afiera. “Tahu. Amrizal tu pun dah lama tak balik jenguk isteri dan anak-anak dia. Akak tahu pasal ni pun sebab hari tu isteri dia sendiri yang datang jumpa dengan akak. Masa mula-mula dia datang pejabat ni, akak tak kenal pun dia siapa, tapi bila dia cakap dia nak jumpa Am, terus akak korek cerita. Itulah yang dia cerita pada akak semuanya. Dia datang office ni pun untuk serahkan surat permohonan cerai dari mahkamah pada Am sebab kat sini jelah harapan dia untuk jumpa suami dia tu. Bila ajak jumpa kat luar, macam-macam alasan yang dia beri. Ikutkan, si Am memang tak nak ceraikan isteri dia. Yelah, kalau 'lombong emas' sementara dia tu dah bankrup, atleast dia masih ada 'lombong emas' yang kekal.” ujar Hashima. Sekali lagi Afiera mengekek ketawa mendengar cerita kakak seniornya itu. “Jadi, memandangkan Fira berkawan dengan Am, akak nak minta tolong Fira untuk jumpakan Am dengan isteri dia. Selama ni dia selalu mengelak bila isteri dia nak jumpa. Kesian tau dengan isteri dia.” ujar Hashima. Afiera melepaskan keluhan berat. Bukannya dia tidak mahu menolong tetapi lelaki itu juga telah banyak menyakiti hatinya.
Amrizal segera datang ke tempat yang telah dijanjikan seperti apa yang tertulis di dalam pesanan ringkas yang dihantar oleh Afiera kelmarin. Dari jauh Afiera menyambut kedatangan lelaki itu dengan senyuman. Beberapa minit selepas Amrizal sampai, mereka berdua didatangi oleh dua orang wanita iaitu Hashima dan isteri Amrizal. Muka Amrizal kelihatan pucat. Afiera pura-pura bingung melihat kehadiran Hashima di meja makan mereka berdua. "Eh, akak pun nak makan kat sini jugak? Aha, apakata akak join kitorang sekali." ujar Afiera. Amrizal terkejut mendengar cadangan gila Afiera. "Eh, tak mengganggu ke ni?" tanya Hashima. "Tak. Duduklah." ujar Afiera sambil tersenyum pahit memandang wajah kedua-dua wanita itu. Hatinya luluh melihat wajah isteri Amrizal. Cantik, lemah lembut, sopan santun dan baik. Dia sendiri tak habis fikir mengapa Amrizal sanggup berbuat sedemikian terhadap isterinya. Apa salah wanita bertudung litup itu? "Fiera belum order makan lagi ke? Hmm...apakata kita berdua pergi buat order dulu." ujar Hashima sambil menarik tangan Afiera supaya dapat memberi ruang pada Amrizal dan isterinya berbincang mengenai hal mereka berdua. Amrizal terlihat cemas. Sebolehnya dia ingin mengelak dari bertentang mata dengan isterinya.
"Apa awak buat kat sini?" tanya Amrizal apabila tidak dapat menahan diri dari situasi janggal itu. "Awak tanya apa yang saya buat? Awak tu yang buat apa selama ni di belakang saya?" ujar Fateha, isteri Amrizal. Amrizal terdiam. "Baiklah, saya pun malas nak lama-lama kat sini. Saya cuma nak awak tahu yang saya dah penat digantung tak bertali. Siang malam saya cari duit untuk sara hidup saya dan anak-anak sejak awak dah tak pernah kirim duit mahupun nafkah pada kami. Oleh itu, saya dah fikir masak-masak, saya minta awak lepaskan saya dan pulangkan saya pada orang tua saya dengan cara baik." ujar Fateha sambil menghulurkan surat permohonan cerai. Amrizal mati kata. Dia merenung sampul surat yang dihulurkan oleh Fateha tadi. Pasangan suami isteri itu langsung senyap dan berpura-pura tidak saling mengenali apabila Afiera dan Hashima sudah kembali ke meja. Fateha dan Amrizal tidak banyak berbual, dia lebih gemar mendengar perbualan Afiera dan Hashima. Amrizal sedikit kesal kerana temujanjinya bersama Afiera rosak.
Setelah temujanji tempoh hari diganggu akan kehadiran Hashima dan isteri Amrizal, Amrizal cuba mengajak Afiera keluar lagi tetapi tidak berjaya kerana sekali lagi Afiera cuba menghindarkan diri dari Amrizal. Niatnya tempoh hari juga sekadar ingin pertemukan Amrizal dan isterinya, itupun kerana dia telah merancang dengan Hashima sejak dari awal. "Akak okay?" tanya Afiera apabila melihat wajah Hashima masam mencuka. "Fiera nak tahu sesuatu tak?" mood Hashima langsung berubah selepas Afiera mendatangi mejanya. Afiera tidak tunggu lama, dia langsung menarik kerusi dan duduk bersebelahan dengan Hashima. "Ada khabar baru ke kak?" tanya Afiera dengan penuh teruja. "Tadi kawan akak yang satu pejabat dengan si Huuda tu cerita dengan akak pasal Huuda." Riak wajah Afiera langsung berubah apabila nama Huuda dipetik. "Kenapa lagi dengan perempuan tu?" tanya Afiera. "Sebenarnya Huuda tu pun masih isteri orang." ujar Hashima. Afiera terlopong. "Bila pula dia kahwin?" tanya Afiera, ingin tahu. "Dah lama. Anak pun dah sorang. Tapi itulah...lelaki dia selalu outstation, Huuda ni pulak jarang balik rumah." sambung Hashima. "Habis tu dia duduk mana kalau dia tak balik rumah? Anak dia siapa yang jaga?" tanya Afiera, cemas memikirkan nasib kepada anak musuh ketatnya itu. "Katanya kawan akak ni, Huuda tinggal kat rumah boyfriend dia. Anak dia pulak dia suruh mak dia yang jaga." ujar Hashima. "Wait... Rumah boyfriend dia? Boyfriend dia tu bukannya Amrizal ke? Takkanlah dia dengan Amrizal...." Afiera dan Hashima saling memandang. Apa yang sedang difikirkan oleh Afiera turut difikirkan oleh Hashima juga.
* * *
Huuda datang ke pejabat Afiera dengan muka angkuhnya. "Hai kak, lama tak naik sini?" tanya Hanna apabila melihat kelibat Huuda. "Kau ingat aku nak sangat ke datang sini? Kalau bukan sebab bos korang yang panggil, aku pun tak hinginlah. Jelik aku nak tengok muka perampas boyfriend aku tu ada kat sini." ujar Huuda sambil menjeling ke arah Afiera. Hanna tertawa kecil mendengar sindiran Huuda. Kemudian Huuda mendekati meja Afiera. "Hey perempuan, kau dengar sini ye. Kau jauhi Amrizal, kalau tak..." belum sempat Huuda menghabiskan ayatnya, tiba-tiba Afiera berdiri di hadapan Huuda. "Kalau tak apa? Kau nak ugut aku?" Huuda terdiam apabila Afiera sudah pandai bersuara. "Aku tak faham kenapa orang sekarang ni lebih suka kejar dosa berbanding pahala." sambung Afiera. Hanna terpinga-pinga "Apa yang kau merepek ni?" tanya Huuda. Afiera tersenyum sinis sebelum menyambung ayatnya. "Apa perasaan suami kau ye kalau dia tahu perangai bini dia macam ni? Terutama anak kau yang masih kecil tu. Bila dia dah besar nanti, malu dia kalau dia tau perangai mak dia sehina ni." Hanna ternganga apabila mendapat tahu bahawa Huuda sudah mempunyai suami dan juga anak. Huuda benar-benar tergamam apabila Afiera mengetahui status dirinya yang sebenar. "Aku tak rasa yang Amrizal kesayangan kau tu tahu status diri kau yang sekarang.” ujar Afiera sambil tersenyum puas kerana dapat meluahkan segala perasaan amarah dia terhadap Huuda selama ni. “Akak dah kahwin ke?” tanya Hanna kepada Huuda. Huuda masih tergamam. Dia hairan dari mana Afiera mengetahui tentang status dirinya walhal dia berusaha keras menyembunyikan hal itu dari pengetahuan rakan-rakan sekerjanya. Huuda merasa bengang dan langsung pergi meninggalkan Hanna yang masih terpinga-pinga. Hanna memandang Afiera, mencari jawapan dari pertanyaannya tadi. Afiera hanya sekadar menjeling tajam.
To be continued...
Nukilan oleh: Leenz Armani
P/S: Kalau tengok pada tajuk, mesti korang tertanya-tanya apa itu CERBUNG? Cerbung tu adalah singkatan kepada maksud Cerpen Sambung (bersambung-sambung). Aku dengar perkataan cerbung ni pun since suka baca cerpen-cerpen bersambung
Wasalam.
Leenz
10 Aug 2017 - 17:07
No comments:
Post a Comment