About us

My photo
"Aku bukan blogger tapi aku hanya seorang pendosa yang mencari jalan perubahan menuju redha Allah S.W.T."

10 June 2020

Biar kupendam perasaan ini (Cerpen)

Assalamualaikum

                 Pernah tak korang memendam perasaan terhadap seseorang dalam tempoh yang sangat lama? Pernah tak korang rasa penantian itu sesuatu hal yang tidak berbaloi? Pernah tak korang putus asa dengan apa yang korang nantikan itu? Tak semua orang mampu bertahan seperti mana yang aku lakukan pada hidup aku saat ini. Well, inilah cerita aku. Cerita di mana aku sanggup mengorbankan masa depan aku hanya semata-mata untuk menantikan sesuatu yang bukan milik aku. Pasrah? Redha? Menyerah? Entahlah…

***

                “Weh Leen, itu Ash kan?” tanya Alesya sambil menunding jari tepat kearah lelaki yang aku minati itu. Ash atau nama penuhnya Hashrul Harish. Ya, dialah lelaki pertama yang berjaya membuatkan aku jatuh cinta pandang pertama. Meskipun aku tidak pernah bertegur sapa dengan dia, cukuplah untuk aku memerhatikannya dari jauh. Aku sedar diri bahawa aku bukanlah siapa-siapa dengannya jika nak dibandingkan dengan kawan-kawan perempuan dia yang lain. Aku tak cantik, aku tak bergaya, aku malu nak bertegur sapa dengannya. Hashrul merupakan seorang pelajar kelas atas di mana taraf pendidikannya lebih tinggi berbanding aku yang berada di kelas bawahan. “Sampai bila kau nak pendam perasaan kau terhadap dia? Dia kena tahu yang kau sukakan dia.” ujar Alesya. Aku mengetap bibir mendengar nasihat Alesya. “Masalahnya….aku tak naklah digelar ‘perigi cari timba.’ Malu aku nanti. Kau tengok jelah kawan-kawan perempuan dia tu, semuanya bergaya, cantik, ada rupa, aku ni? Hmm…” ujarku. Alesya mengeluh kecil. Alesya merupakan kawan baik aku. Dialah yang sering menemani aku walau kemana sahaja aku pergi meskipun kami berada di kelas yang berbeza. Oh, jangan tak tahu, Alesya ni pernah berada satu kelas dengan Hashrul. Aku mengenali Hashrul pun dari Alesya. Suatu ketika dahulu, aku pernah berkunjung ke kelas Alesya untuk meminjam buku rujukannya, tiba-tiba Hashrul melintasi kami berdua, dari situ mata aku dan Hashrul saling bertentang dan DUP DAP DUP DAP! Jantung aku berdegup kencang masa tu! Pandangan mata dia menusuk ke dalam hati aku sampai saat ini. Aku menceritakan segalanya kepada Alesya. Alesya sedikit terkejut apabila aku mengatakan bahawa aku menyukai Hashrul. “Itulah aku dah cakap dulu, jangan berharap sangat dengan si Hashrul ni, dia tu terang-terang lelaki pujaan ramai. Harapan kau nak dapatkan dia tu susah. Memang susah. Tapi kalau kau nak kawan Hashrul si Bulat tu, aku boleh tolong dapatkan.” ujar Alesya sambil mengusik. Si Bulat tu yang dia kenalkan? Jauh ‘panggang dari api’. Terang-terang si Bulat tu berbadan besar dan tinggi, mana sesuai dengan aku yang kurus dan pendek ni. Maunya leper kalau kena lenyek dengan dia.

                Aku berjaya dapatkan nombor telefon Hashrul, itupun berkat bantuan Alesya. Tapi…aku takut nak hubungi dia. Apa aku nak cakap nanti? Dia nak ke layan aku? Kenal pun tidak, macam mana nak berborak? “Weh, kau tunggu apalagi? Cepatlah call.” desak Alesya. “Aku nervouslah. Macam mana kalau dia tak nak layan aku?” Aku termangu sendiri. Betul ke apa yang aku buat ni? Tanpa buang masa, aku langsung mendail nombor yang tertera. Panggilan disambungkan. “Hello, siapa ni?” Aku terkaku sebaik sahaja panggilan tersebut dijawab oleh seorang lelaki. Lidah aku kelu dengan tiba-tiba. “Hello?” TAPPP! Aku langsung meletakkan panggilan kerana aku buntu untuk berkata-kata. “Kenapa kau letak? Tak ada orang jawab ke?” tanya Alesya. “A…ada. Lelaki. Aku takutlah Sya.” ujarku. Alesya menepuk dahi. “Ya Allah… habis tu kenapa kau letak? Inilah masanya untuk kau kenalkan diri kau pada dia. Kalau tak, sampai bila-bila pun dia takkan tahu kewujudan kau.” ujar Alesya sambil memberi semangat pada aku. Aku mendail kembali nombor tersebut. Dengan sedikit keberanian, akhirnya aku bersuara. Untuk pertama kalinya aku akan berbual dengan dia. “Ye saya Hashrul, awak siapa ye?” tanya Hashrul di hujung talian. “Saya… saya sukakan awak.” Ya Allah, apa yang aku cakapkan ni? Aku bercakap tanpa sedar. Betapa malunya aku saat itu. Aku langsung mematikan panggilan. Aku terlepas cakap. Tidak sepatutnya aku meluahkan perasaan aku terhadap dia tanpa mengenalkan diri terlebih dahulu. Aku lihat Alesya sudah ternganga besar mendengar pengakuan aku terhadap Hashrul sebentar tadi. “Weh, seriuslah kau cakap macam tu tadi?” Alesya masih terkejut. “Aku…aku tak sengaja. Aku tersalah cakap. Aku nervous, aku takut. Sya, aku malu dengan pengakuan aku tadi.” ujarku sambil memeluk Alesya. “Kejap, tadi kau ada kenalkan diri kau tak?” tanya Alesya. Aku sekadar menggeleng. “Haa baguslah tu. Sekurang-kurangnya dia tak tahu siapa perempuan gila yang tiba-tiba meluahkan perasaan pada dia tadi.” seloroh Alesya. Ada benar juga kata-kata Alesya itu. Sekurang-kurangnya aku tidak akan berasa malu apabila berhadapan dengan Hashrul nanti. Apapun yang terjadi hari ini membuatkan aku merasa sedikit lega kerana dapat meluahkan perasaan terhadap dia meskipun dia tidak mengenali aku.

                5 tahun berlalu. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir dengan jayanya. “Fuhhh akhirnya tamat juga perjuangan kita hari ni.” ujarku sambil menggeliat dan merenggangkan badan setelah berhempas pulas menjawab kertas peperiksaan. “So, apa plan kau lepas habis sekolah ni?” tanya Alesya. “Aku nak duduk rumah, habiskan beras mak aku. Hahaha.” ujarku dengan selamba. “Amboi jawapan kau, bernas sungguh. Apa kata kita cari kerja separuh masa, nak?” ujar Alesya. Aku menggangguk setuju. Selepas tamat persekolahan kami, aku dan Alesya membuat kerja separuh masa di sebuah restoran makanan segera dengan tujuan untuk mencari duit simpanan dan sedikit pengalaman. “Tapi…lepas ni aku dah tak dapat nak tengok muka dia. Aku mesti akan rindu sangat dengan dia.” ujarku sambil mengenangkan cinta aku terhadap Hashrul yang tidak kesampaian. “Tak apalah, perlahan-lahan kau lupakan dia. Kau akan dapat pengganti yang lebih baik.” pujuk Alesya.

                Hari ini aku bertugas menjaga kaunter dan mengambil pesanan pelanggan. Tiba pada seorang pelanggan, aku menjadi tidak tentu arah. Hashrul! Hashrul mengunjungi tempat kami bekerja! Yang membuatkan aku menjadi semakin gementar apabila Hashrul benar-benar berada di hadapan aku. Dia memandang aku dengan mata redupnya. Pandangan yang sangat aku rindui. Wajahnya tidak pernah berubah dari dulu lagi. Aku terhanyut dalam pandangan matanya. Alesya langsung mengejutkanku. “Hey, kau Hashrul kan?” ujar Alesya yang tiba-tiba sahaja bertegur sapa dengan lelaki di hadapanku ini. “Kau kerja kat sini rupanya, Sya.” ujar Hashrul. “A’ah, tapi aku buat part-time je kat sini. Eh, kau nak order apa? Kawan aku ni belanja.” ujar Alesya. Aku sedikit terkejut apabila Alesya tak semena-mena berkata sedemikian. “Seriuslah?” Hashrul tersenyum girang memandang aku. Kurang asam punya Alesya! Habislah nanti gaji aku kena potong. Aku menjeling tajam kearah Alesya. Alesya sekadar mengenyitkan mata tanda berjaya mengenakan aku. Selepas  Hashrul membuat pesanan, aku meminta dia menunggu sementara makanannya sedang disediakan. “Terima kasih banyak tau sebab belanja saya. Err...boleh saya tahu nama awak?” tanya Hashrul. “Leenda. Panggil saya Leen je.” Hashrul menggangguk faham. “Terima kasih Leen. Nice to meet you!” Ya Allah, betapa girangnya hati aku saat itu. Meskipun gaji aku bakal dipotong tapi ini sudah cukup membuatkan aku bahagia. Ternyata Alesya mengenakan aku dengan niat untuk menolong aku. Hashrul sudah mendapat pesanannya. Dia juga sempat melambai kearah aku dan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku menoleh kebelakang dan aku melihat Alesya tersenyum lebar melihat aku. “Terima kasih Alesya!”

***

                10 tahun masa berlalu. Kini aku tidak lagi bekerja di restoran makanan segera tersebut. Selepas mendapat keputusan SPM, aku menyambung pengajian di sebuah kolej namun ianya hanyalah sementara kerana hati aku lebih berminat terhadap bidang pekerjaan berbanding belajar. Aku beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat memahami apa yang aku kehendaki. Orang tuaku mengizinkan aku untuk berhenti belajar dan memulai pekerjaan di sebuah syarikat swasta. Sedikit demi sedikit aku cuba melupakan hal di masa silamku. Aku cuba membuang perasaan aku terhadap Hashrul jauh dari hidupku namun aku masih gagal. Apa khabar dengannya? Sudah berpunyakah dia? Sudah berkahwinkah dia? Siapalah wanita bertuah itu… “Hoii…termenung jauh nampak?” sapa Ayu, selaku rakan sekerjaku. “Ishhh kau ni, kacau je aku nak berangan sikitpun tak boleh.” rungutku. “Kau berangan apa? Kau berangan tunggu anak raja datang lamar kau ye?” usik Ayu sambil menguis-nguis sikunya. “Kalau ye pun, kenapa? Tak boleh ke?” jawabku sambil mencebik. “Haa tu putera raja kau dah sampai.” ujar Ayu sambil menunjuk kearah Syarif, lelaki paling menyebalkan. “Haiii sayang…” ujar Syarif sambil memandang aku dengan pandangan miang. “Apa sayang-sayang? Geli tau tak! Ingat sikit anak bini kat rumah tu.” ujarku sambil melemparkan sepatah dua kata. Syarif langsung terdiam apabila nama anak bininya dipetik. “Awak kena ingat, perempuan tak boleh membujang sampai ke tua, tak pasal-pasal orang panggil ‘andartu’ karang. Lagipun, jual mahal-mahal sangat ni takut nanti tak laku pulak.” Syarif memulangkan ‘paku buah keras’. Menusuk tepat ke jantung aku. “Saya lebih rela hidup sebagai andartu daripada kena kahwin paksa dengan laki orang yang tak sedar diri macam awak, Encik Syarif!” jerkahku. Syarif langsung terdiam. Keadaan di pejabat sewaktu itu menjadi sunyi sepi. Masing-masing tidak mahu masuk campur perbalahan kami berdua. Ada bagusnya juga mereka tidak masuk campur. Sekurang-kurangnya tiada pihak akan menyokong jantan miang ni.

***

                Meskipun aku telah membuat haluan sendiri, namun hubungan aku dan Alesya tetap berjalan seperti dulu. Kami sering berhubung antara satu sama lain kerana dialah satu-satunya kawan baik aku. Aku mengajak Alesya berjumpa. Sungguh, Alesya banyak berubah! Dia sangat bergaya dan sangat menjaga penampilan diri. “Amboi, sejak-sejak pegang jawatan besar ni…bukan main bergaya lagi ye.” ujarku sambil mengusik. “Eh, tak adalah. Biasa je kot. Aku masih sama macam dulu. Cuma kena upgrade sikit je, bak kata bos aku penampilan kita kena setaraf dengan jawatan yang kita pegang, baru orang boleh respect.” ujar Alesya sambil menyelitkan sedikit nasihat. “Betul juga tu. Aku sokong!” sambil menunggu pesanan makanan yang dipesan tadi, aku sempat memerhatikan keadaan sekeliling. Tiba-tiba pandanganku terhenti melihat sebuah pasangan. Wajah yang sangat aku kenali! “Sya…cuba kau tengok sana tu?” ujarku sambil menunding jari kearah pasangan yang aku maksudkan. “Yang mana? Yang ada budak kecil 2 orang tu?” tanya Alesya. Aku menggangguk iya. “Aku rasa aku kenal lelaki tu…” ujarku sambil mataku tak lepas memandang wajah lelaki yang sedang melihat telefon bimbit. “Siapa?” tanya Alesya. “Hashrul.” Aku sangat yakin, lelaki itu adalah Hashrul. Meskipun penampilan dia sedikit berubah, wajahnya penuh dengan jambang, namun mata redup itu yang membuatkan aku cam akan wajahnya. “Kalau betullah itu Hashrul, habis tu yang 2 orang budak kecil tu, takkanlah anak-anak dia?” tanya Alesya. Aku pun kurang pasti. Hampir 10 tahun lebih aku tidak bertemu dengan lelaki itu. Entah bagaimana khabarnya juga aku tidak tahu. Seandainya benar Hashrul sudah berkahwin dan mempunyai anak, aku redha. Aku rela melepaskan dia dari ingatanku. Sudah tiada gunanya lagi untuk aku menanti cintanya. Meskipun tidak berbalas namun aku puas. Puas kerana memendam perasaan ini. Dengan tiba-tiba Alesya menarik tanganku. “Kau nak bawak aku kemana ni?” Aku melihat Alesya semakin mendekati meja di mana Hashrul berada. “Hai Ash! Ingat aku lagi tak?” sapa Alesya. Hashrul memandang dengan penuh hairan. “Alesya ke ni?” tanya Hashrul. “Ye, aku Alesya. Kau ni, tahulah kita ni dah tua, tapi janganlah tunjuk sangat pelupa tu.” ujar Alesya sambil bergurau kasar. “Kurang asam. Aku bukan lupa cuma aku tak berapa nak cam muka kau tadi. Fuhh makin bergaya kau sekarang. Kau masih kerja kat tempat sama ke?” ujar Hashrul. Aku hanya diam membatu. Sekejap aku bermain-main dengan 2 orang anak kecil itu. “Setia betul kau dengan tempat kerja kau ye. Eh, kejap. Kalau tak silap aku, ni kawan kau yang belanja aku dulu tu kan?” ujar Hashrul sambil memandang aku. Ya Allah, aku rindukan pandangan itu! “Ye, dia nilah yang belanja kau dulu tu. Leen nama dia. Jangan cakap kau dah lupa dia.” ujar Alesya sambil mencucuk jarum. “Ishhh mana boleh lupa, jasa orang kita kena kenang. Eh alang-alang korang dah ada kat sini, aku nak kenalkan ni bini aku, Siti dan dua orang budak kenit ni, anak-anak kitorang, Adam dan Arisya.” ujar Hashrul sambil menarik anak kecil itu dan duduk di pangkuannya. “Comelnya diorang ni.” ujarku sambil mengusik kedua anak kecil itu. “Mestilah comel, tengoklah bapak dia siapa.” ujar Hashrul, membangga diri. Alesya mencebik. “Hello, diorang comel sebab ikut muka mak dia.” jawab Alesya. Kitorang tertawa bersama. “Korang apa cerita? Takkan nak membujang sampai ke tua? Meh la, cari geng untuk anak-anak aku.” ujar Hashrul. “Eh, copppp! Sorry ye, aku mungkin takkan membujang sampai ke tua sebab aku dah ada calon, cuma si Leen ni je yang masih menunggu seseorang yang takkan jadi milik dia lagi.” ujar Alesya sambil berseloroh. Aku cepat-cepat mengajak Alesya beransur pergi. “Maaflah kitorang mengganggu korang sekeluarga. Just nak tanya khabar je tadi, maklumlah takut salah orang.” ujar Alesya sambil menyalami isteri Hashrul. “Eh, tak ada hal lah. Sekurang-kurangnya aku tahu yang aku ni masih popular di kalangan perempuan meskipun sekarang aku dah bergelar suami orang.” ujar Hashrul sambil memandang kami berdua. Senyuman itu…akan jadi senyuman terakhir untuk aku simpan. Ya, aku harus belajar untuk redha dan pasrah melepaskan semua ini. Berakhirlah kini penantian aku. Aku tidak meminta lebih, aku cuma ingin melihat dia bahagia bersama insan yang dia kasihi selama hidupnya. Biarlah aku cari kebahagiaan aku sendiri. Meskipun perih yang kutelan, aku terima dengan sepenuh hati. Asalkan kau bahagia…

TAMAT.


Bukan Aku by Tasha Manshahar

Tak mudah aku jalani, hidupku tanpamu di sisi
Hari-hari kutangisi, segala memori janji kumungkiri

Aku lepas semua pergi, bukan kerna aku benci
Tapi kernaku terlalu mencintai

Percayalah oh sayangku, nikmati dulu usiamu
Nanti kau temu cintamu, bukan aku

Engkau masih aku rindu, walau tak pernah engkau tahu
Hanya satu harapanku, moga kau selalu maafkan diriku

Aku lepas semua pergi, bukan kerna aku benci
Tapi kernaku terlalu mencintai

Percayalah oh sayangku, nikmati dulu usiamu
Nanti kau temu cintamu, bukan aku

Usah bimbang sayangku, nikmati dulu usiamu
Nanti kau temu cintamu, bukan aku.

P/S: Based on real story of my life.

Wasalam,
- Leenz

10 June 2020 - 3:31pm