About us

My photo
"Aku bukan blogger tapi aku hanya seorang pendosa yang mencari jalan perubahan menuju redha Allah S.W.T."

22 August 2020

Second chances (Cerpen)

Second chances...


Sebuah bingkai gambar dipeluk erat oleh Bella dengan wajahnya dibasahi dengan air mata. Seorang lelaki yang sedang memegang sekuntum bunga mawar merah kesukakan Bella sambil tersenyum lebar berada di dalam gambar tersebut. Jauh lamunan Bella sehingga akhirnya dia terlelap sendiri.

“Hi awak, kenapa lambat?” tanya Bella kepada teman lelakinya, Qalish. 

“Sorry, traffic jammed. By the way, you look so beautiful today.” jawab Qalish sambil melemparkan senyuman lebar buat wanita yang dia cintai itu. 

Bella tersenyum malu. 

Tanpa basa basi, dia langsung masuk ke dalam kereta Nissan Almera E 1.5 keluaran 2019 milik Qalish kerana tidak mahu terlewat ke tempat penggambarannya pagi ini. Bella atau nama penuhnya Nabella Ayrana merupakan seorang model sampingan yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia modelling, oleh itu dia tidak mahu prestasinya buruk gara-gara sering terlewat ke lokasi penggambaran.

“Tamat shooting nanti saya ambil awak, boleh?” tanya Qalish. 

Bella menggelengkan kepala.

“Tak payahlah. Awak kan ada kerja. Saya tak nak ganggu kerja awak. Saya boleh ambil grab pulang nanti.” ujar Bella. Wajah Qalish kelihatan muram. Bella faham benar dengan sikap teman lelakinya itu jika tidak dapat sesuatu yang dia inginkan. “Please, saya tak nak awak kena buang kerja gara-gara saya. Awak dah janji nak kumpul duit untuk minang saya suatu hari nanti kan, jadi awak kenalah rajin kerja. Okay, Qalish Fadzley?” pujuk Bella. Setelah itu barulah Qalish mulai tersenyum lagi.

“Okay. I love you.”

***** 

“Hari ni saya free. So, kita nak kemana je?” tanya Bella yang berada di sebelah Qalish yang sedang khusyuk memandu kereta. “Qalish? Awak dengar tak saya cakap tadi?” ulang Bella.  Qalish hanya terdiam sendiri. Bella mengeluh kecil kerana soalannya dibiarkan sepi.

“Siapa lelaki yang hantar awak semalam?” tanya Qalish memecahkan kesunyian. Mukanya kelihatan serius.

Bella mengingat kembali peristiwa kelmarin sebaik sahaja dia habis penggambaran, dan dia dipelawa oleh Hakeem untuk dihantar pulang memandangkan hari sudah larut petang. Tanpa pengetahuan Bella, Qalish datang ke lokasi penggambaran itu. Hatinya terluka apabila teman wanitanya kelihatan sangat mesra dengan lelaki itu.

“Hakeem. Model senior yang sama-sama buat penggambaran dengan saya hari tu. Ikutkan hati, saya nak panggil grab tapi memandangkan hari dah lewat petang, Hakeem tawarkan saya untuk dia hantar pulang, jadi apa salahnya?” jawab Bella.

Qalish mendengus kecil. Bella tahu Qalish tidak senang dengan jawapannya.

Sepanjang perjalanan Qalish menghantar Bella, Qalish lebih banyak mendiamkan diri berbanding Bella yang hanya mampu melihat pemandangan di luar tingkap. Serba salah dia untuk memulakan perbicaraan. Dia tahu Qalish masih marah. Sebaik sahaja sampai ke rumah Bella, Qalish masih tetap mendiamkan diri.

“Maafkan saya. Saya tak berniat nak buat awak terluka. I’m not perfect.” Bella mengungkapkan rasa bersalahnya. Qalish memandang Bella dengan penuh sayu.

“Awak sempurna di mata saya. Maafkan saya sebab bersangka buruk dengan awak.” ujar Qalish sambil menyeka air mata yang mulai mengalir di pipi Bella. Bella menunduk sedih dan dalam satu masa dia merasa terharu kerana Qalish masih mengganggap sedemikian meskipun dia sering membuat lelaki itu terluka dengan perlakuannya.

*****

Qalish memegang sebuah kotak berisi sebentuk cincin dengan hasrat ingin melamar wanita yang dia cintai, Nabella Ayrana hari ini. “She will say YES!” ujar Qalish sambil tersenyum sendirian. Dia lantas menghidupkan enjin kereta kerana dia sudah tidak sabar ingin menemui wanita itu.

Bella terlihat sangat bahagia kerana baru sahaja mendapat berita baik dimana dia akan diangkat sebagai model utama dan bukan lagi model sampingan seperti biasanya. Dia juga tidak sabar ingin memberitahu pada Qalish. Pasti lelaki itu akan bangga dengan prestasi kerjanya selama ini.

Sebaik sahaja Qalish sampai, Bella dari jauh sudah tersenyum memandangnya. Qalish terlihat sangat bahagia melihat senyuman Bella. Adakah dia tahu soal lamaran ini?

“Saya ada berita baik nak share dengan awak!” ujar Bella dengan penuh teruja. 

Sangkaan Qalish soal lamaran adalah salah. Sebelumnya dia telah memegang erat kotak itu, namun dia memasukkan kembali kotak berisi cincin itu ke dalam poket seluarnya. “What a good news?” tanya Qalish. 

Bella menunjukkan sebuah surat yang mengatakan bahawa dia ditawarkan untuk menjadi model sepenuh masa dan akan terbang jauh ke luar negara untuk menjayakan penggambaran disana selama beberapa tahun. “I’m soooo happy!” Hati Qalish semakin sakit melihat senyuman bahagia Bella. Bukan kerana dia tidak gembira dengan berita yang baru sahaja disampaikan oleh Bella, tetapi jika Bella menerima tawaran itu, pasti Bella akan semakin jauh dengan Qalish. “Congratulation sweetheart. You did well.” ujar Qalish untuk menutupi rasa sedihnya.

***** 

Sebaik sahaja Qalish menghantar Bella ke lapangan terbang, hatinya seakan kosong. Bella menyedari perubahan diri Qalish namun dia tidak mampu menolak keinginannya demi mencapai impian yang dia nantikan selama ini.

“Saya pergi sekejap je. Awak tunggu saya ye?” ujar Bella untuk memujuk hati Qalish. Qalish cuba mengukir senyuman meskipun hatinya berat untuk melepaskan Bella pergi mencapai cita-citanya. “Please take care and love me always.” ujar Qalish sambil matanya mengekori langkah Bella sehingga bayang wanita itu benar-benar hilang dari pandangannya.

Qalish melangkah lemah keluar dari lapangan terbang itu. Dia memandu tanpa arah tujuan. Hatinya kosong. Jiwanya dibawa pergi jauh. Entah kenapa dia merasakan bahawa dia akan benar-benar jauh dari teman wanitanya itu. Dia mengeluarkan kembali kotak berisi cincin yang ingin dia beri pada Bella dengan niat untuk melamar wanita itu. Dia memandang kosong kearah cincin tersebut. Dia berhenti di persimpangan jalan sambil menulis sesuatu di atas kertas…

Maaf aku terluka

Hilang kata bermakna

Hilang didepan mata

Hilang begitu sahaja.


Bintang sudah ku ukir

Janji sudah kau mungkir

Walau didalam luka kau ajar ku berjuang.


Sayang takkan terbuang

Adakah ini peluang

Maaf rindu dalam halaman hati bila kau hilang

Selagi akan terang 

Cahaya sinar bintang…

Qalish menyelitkan potongan kertas yang bertulis itu di dalam kotak berisi cincin tersebut dan dia memulakan kembali pemanduannya. Tanpa dia sedar, sebuah lori meluncur laju dari belakang keretanya sehingga akhirnya melanggar kereta Qalish yang baru sahaja keluar dari simpang. Kemalangan ngeri itu akhirnya meragut nyawa pemandu lori yang terbalik kerana hilang kawalan manakala kereta milik Qalish remuk teruk akibat pelanggaran itu. Qalish juga didapati meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah.

Bella tersentak. Dia mulai rasa tidak sedap hati. Sementara dia menunggu penerbangannya, dia cuba menghubungi Qalish kerana sebelum mereka berpisah di lapangan terbang, Qalish tidak banyak bercakap. Beberapa kali dia cuba hubungi namun tiada jawapan. Bella mulai cemas. Tiba-tiba Bella mendapat panggilan dari telefon bimbit Qalish. Bella langsung menjawab panggilan itu. 

“Awak okay ke tu? Kenapa saya call awak banyak kali, awak tak jawab? Awak marah dengan saya ke?” soal Bella bertalu-talu. Bella tergamam apabila mendengar suara orang lain dari telefon bimbit Qalish. “Hello, awak kenal dengan pemilik telefon ni?” Bella terdiam. “Siapa ni?” tanya Bella.

“Maaf, saya nak beritahu pada cik, pemilik telefon bimbit ni mengalami kemalangan dan dia disahkan telah meninggal dunia. Saya saksi kejadian. Cik ada dimana? Barang-barang yang dapat diselamatkan ada pada saya. Nanti saya akan hantar lokasi tempat kemalangan terjadi.”ujar orang yang berada di hujung talian.

Badan Bella mulai menggigil. Telefon bimbit yang berada di dalam pegangannya langsung jatuh ke lantai. Tubuhnya lemah longlai apabila mendapat tahu berita itu. Bella pengsan.

“Bella….kenapa ni?” tanya pengurus Bella.

***** 

Bella akhirnya berhenti dari dunia modelling dan dia lebih banyak memerapkan diri di dalam bilik. Pemergian Qalish benar-bener memberi tamparan hebat dalam hidupnya. Gara-gara dia ingin mencapai impiannya sebagai seorang model, dia akhirnya kehilangan orang yang paling dia cintai buat selama-lamanya. Bella meneliti satu persatu barangan yang ditinggalkan oleh Qalish. Dia melihat sebuah kotak yang tertutup rapi. Sebaik sahaja dia membuka kotak itu, terkepil sepotong kertas dan dia membaca bait-bait tulisan milik Qalish. Air matanya mengalir deras melihat sebentuk cincin berada di dalam kotak itu. Penyesalan yang tidak berpenghujung. Jika dia tidak memilih jalan itu, pasti dia tidak akan kehilangan Qalish Fadzley. “I miss you…”

Tamat.


Peluang Kedua by Nabila Razali ft MK K-Clique


P/S: Second chances doesn't always mean a happy ending. Sometimes, it's just another shot to end things right.


(Jalan cerita ini tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup mahupun meninggal dunia. Semua ini hanya rekaan semata-mata. Terima kasih sudi membaca!)

Nukilan - Leenz Armani

10 June 2020

Biar kupendam perasaan ini (Cerpen)

Assalamualaikum

                 Pernah tak korang memendam perasaan terhadap seseorang dalam tempoh yang sangat lama? Pernah tak korang rasa penantian itu sesuatu hal yang tidak berbaloi? Pernah tak korang putus asa dengan apa yang korang nantikan itu? Tak semua orang mampu bertahan seperti mana yang aku lakukan pada hidup aku saat ini. Well, inilah cerita aku. Cerita di mana aku sanggup mengorbankan masa depan aku hanya semata-mata untuk menantikan sesuatu yang bukan milik aku. Pasrah? Redha? Menyerah? Entahlah…

***

                “Weh Leen, itu Ash kan?” tanya Alesya sambil menunding jari tepat kearah lelaki yang aku minati itu. Ash atau nama penuhnya Hashrul Harish. Ya, dialah lelaki pertama yang berjaya membuatkan aku jatuh cinta pandang pertama. Meskipun aku tidak pernah bertegur sapa dengan dia, cukuplah untuk aku memerhatikannya dari jauh. Aku sedar diri bahawa aku bukanlah siapa-siapa dengannya jika nak dibandingkan dengan kawan-kawan perempuan dia yang lain. Aku tak cantik, aku tak bergaya, aku malu nak bertegur sapa dengannya. Hashrul merupakan seorang pelajar kelas atas di mana taraf pendidikannya lebih tinggi berbanding aku yang berada di kelas bawahan. “Sampai bila kau nak pendam perasaan kau terhadap dia? Dia kena tahu yang kau sukakan dia.” ujar Alesya. Aku mengetap bibir mendengar nasihat Alesya. “Masalahnya….aku tak naklah digelar ‘perigi cari timba.’ Malu aku nanti. Kau tengok jelah kawan-kawan perempuan dia tu, semuanya bergaya, cantik, ada rupa, aku ni? Hmm…” ujarku. Alesya mengeluh kecil. Alesya merupakan kawan baik aku. Dialah yang sering menemani aku walau kemana sahaja aku pergi meskipun kami berada di kelas yang berbeza. Oh, jangan tak tahu, Alesya ni pernah berada satu kelas dengan Hashrul. Aku mengenali Hashrul pun dari Alesya. Suatu ketika dahulu, aku pernah berkunjung ke kelas Alesya untuk meminjam buku rujukannya, tiba-tiba Hashrul melintasi kami berdua, dari situ mata aku dan Hashrul saling bertentang dan DUP DAP DUP DAP! Jantung aku berdegup kencang masa tu! Pandangan mata dia menusuk ke dalam hati aku sampai saat ini. Aku menceritakan segalanya kepada Alesya. Alesya sedikit terkejut apabila aku mengatakan bahawa aku menyukai Hashrul. “Itulah aku dah cakap dulu, jangan berharap sangat dengan si Hashrul ni, dia tu terang-terang lelaki pujaan ramai. Harapan kau nak dapatkan dia tu susah. Memang susah. Tapi kalau kau nak kawan Hashrul si Bulat tu, aku boleh tolong dapatkan.” ujar Alesya sambil mengusik. Si Bulat tu yang dia kenalkan? Jauh ‘panggang dari api’. Terang-terang si Bulat tu berbadan besar dan tinggi, mana sesuai dengan aku yang kurus dan pendek ni. Maunya leper kalau kena lenyek dengan dia.

                Aku berjaya dapatkan nombor telefon Hashrul, itupun berkat bantuan Alesya. Tapi…aku takut nak hubungi dia. Apa aku nak cakap nanti? Dia nak ke layan aku? Kenal pun tidak, macam mana nak berborak? “Weh, kau tunggu apalagi? Cepatlah call.” desak Alesya. “Aku nervouslah. Macam mana kalau dia tak nak layan aku?” Aku termangu sendiri. Betul ke apa yang aku buat ni? Tanpa buang masa, aku langsung mendail nombor yang tertera. Panggilan disambungkan. “Hello, siapa ni?” Aku terkaku sebaik sahaja panggilan tersebut dijawab oleh seorang lelaki. Lidah aku kelu dengan tiba-tiba. “Hello?” TAPPP! Aku langsung meletakkan panggilan kerana aku buntu untuk berkata-kata. “Kenapa kau letak? Tak ada orang jawab ke?” tanya Alesya. “A…ada. Lelaki. Aku takutlah Sya.” ujarku. Alesya menepuk dahi. “Ya Allah… habis tu kenapa kau letak? Inilah masanya untuk kau kenalkan diri kau pada dia. Kalau tak, sampai bila-bila pun dia takkan tahu kewujudan kau.” ujar Alesya sambil memberi semangat pada aku. Aku mendail kembali nombor tersebut. Dengan sedikit keberanian, akhirnya aku bersuara. Untuk pertama kalinya aku akan berbual dengan dia. “Ye saya Hashrul, awak siapa ye?” tanya Hashrul di hujung talian. “Saya… saya sukakan awak.” Ya Allah, apa yang aku cakapkan ni? Aku bercakap tanpa sedar. Betapa malunya aku saat itu. Aku langsung mematikan panggilan. Aku terlepas cakap. Tidak sepatutnya aku meluahkan perasaan aku terhadap dia tanpa mengenalkan diri terlebih dahulu. Aku lihat Alesya sudah ternganga besar mendengar pengakuan aku terhadap Hashrul sebentar tadi. “Weh, seriuslah kau cakap macam tu tadi?” Alesya masih terkejut. “Aku…aku tak sengaja. Aku tersalah cakap. Aku nervous, aku takut. Sya, aku malu dengan pengakuan aku tadi.” ujarku sambil memeluk Alesya. “Kejap, tadi kau ada kenalkan diri kau tak?” tanya Alesya. Aku sekadar menggeleng. “Haa baguslah tu. Sekurang-kurangnya dia tak tahu siapa perempuan gila yang tiba-tiba meluahkan perasaan pada dia tadi.” seloroh Alesya. Ada benar juga kata-kata Alesya itu. Sekurang-kurangnya aku tidak akan berasa malu apabila berhadapan dengan Hashrul nanti. Apapun yang terjadi hari ini membuatkan aku merasa sedikit lega kerana dapat meluahkan perasaan terhadap dia meskipun dia tidak mengenali aku.

                5 tahun berlalu. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir dengan jayanya. “Fuhhh akhirnya tamat juga perjuangan kita hari ni.” ujarku sambil menggeliat dan merenggangkan badan setelah berhempas pulas menjawab kertas peperiksaan. “So, apa plan kau lepas habis sekolah ni?” tanya Alesya. “Aku nak duduk rumah, habiskan beras mak aku. Hahaha.” ujarku dengan selamba. “Amboi jawapan kau, bernas sungguh. Apa kata kita cari kerja separuh masa, nak?” ujar Alesya. Aku menggangguk setuju. Selepas tamat persekolahan kami, aku dan Alesya membuat kerja separuh masa di sebuah restoran makanan segera dengan tujuan untuk mencari duit simpanan dan sedikit pengalaman. “Tapi…lepas ni aku dah tak dapat nak tengok muka dia. Aku mesti akan rindu sangat dengan dia.” ujarku sambil mengenangkan cinta aku terhadap Hashrul yang tidak kesampaian. “Tak apalah, perlahan-lahan kau lupakan dia. Kau akan dapat pengganti yang lebih baik.” pujuk Alesya.

                Hari ini aku bertugas menjaga kaunter dan mengambil pesanan pelanggan. Tiba pada seorang pelanggan, aku menjadi tidak tentu arah. Hashrul! Hashrul mengunjungi tempat kami bekerja! Yang membuatkan aku menjadi semakin gementar apabila Hashrul benar-benar berada di hadapan aku. Dia memandang aku dengan mata redupnya. Pandangan yang sangat aku rindui. Wajahnya tidak pernah berubah dari dulu lagi. Aku terhanyut dalam pandangan matanya. Alesya langsung mengejutkanku. “Hey, kau Hashrul kan?” ujar Alesya yang tiba-tiba sahaja bertegur sapa dengan lelaki di hadapanku ini. “Kau kerja kat sini rupanya, Sya.” ujar Hashrul. “A’ah, tapi aku buat part-time je kat sini. Eh, kau nak order apa? Kawan aku ni belanja.” ujar Alesya. Aku sedikit terkejut apabila Alesya tak semena-mena berkata sedemikian. “Seriuslah?” Hashrul tersenyum girang memandang aku. Kurang asam punya Alesya! Habislah nanti gaji aku kena potong. Aku menjeling tajam kearah Alesya. Alesya sekadar mengenyitkan mata tanda berjaya mengenakan aku. Selepas  Hashrul membuat pesanan, aku meminta dia menunggu sementara makanannya sedang disediakan. “Terima kasih banyak tau sebab belanja saya. Err...boleh saya tahu nama awak?” tanya Hashrul. “Leenda. Panggil saya Leen je.” Hashrul menggangguk faham. “Terima kasih Leen. Nice to meet you!” Ya Allah, betapa girangnya hati aku saat itu. Meskipun gaji aku bakal dipotong tapi ini sudah cukup membuatkan aku bahagia. Ternyata Alesya mengenakan aku dengan niat untuk menolong aku. Hashrul sudah mendapat pesanannya. Dia juga sempat melambai kearah aku dan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku menoleh kebelakang dan aku melihat Alesya tersenyum lebar melihat aku. “Terima kasih Alesya!”

***

                10 tahun masa berlalu. Kini aku tidak lagi bekerja di restoran makanan segera tersebut. Selepas mendapat keputusan SPM, aku menyambung pengajian di sebuah kolej namun ianya hanyalah sementara kerana hati aku lebih berminat terhadap bidang pekerjaan berbanding belajar. Aku beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat memahami apa yang aku kehendaki. Orang tuaku mengizinkan aku untuk berhenti belajar dan memulai pekerjaan di sebuah syarikat swasta. Sedikit demi sedikit aku cuba melupakan hal di masa silamku. Aku cuba membuang perasaan aku terhadap Hashrul jauh dari hidupku namun aku masih gagal. Apa khabar dengannya? Sudah berpunyakah dia? Sudah berkahwinkah dia? Siapalah wanita bertuah itu… “Hoii…termenung jauh nampak?” sapa Ayu, selaku rakan sekerjaku. “Ishhh kau ni, kacau je aku nak berangan sikitpun tak boleh.” rungutku. “Kau berangan apa? Kau berangan tunggu anak raja datang lamar kau ye?” usik Ayu sambil menguis-nguis sikunya. “Kalau ye pun, kenapa? Tak boleh ke?” jawabku sambil mencebik. “Haa tu putera raja kau dah sampai.” ujar Ayu sambil menunjuk kearah Syarif, lelaki paling menyebalkan. “Haiii sayang…” ujar Syarif sambil memandang aku dengan pandangan miang. “Apa sayang-sayang? Geli tau tak! Ingat sikit anak bini kat rumah tu.” ujarku sambil melemparkan sepatah dua kata. Syarif langsung terdiam apabila nama anak bininya dipetik. “Awak kena ingat, perempuan tak boleh membujang sampai ke tua, tak pasal-pasal orang panggil ‘andartu’ karang. Lagipun, jual mahal-mahal sangat ni takut nanti tak laku pulak.” Syarif memulangkan ‘paku buah keras’. Menusuk tepat ke jantung aku. “Saya lebih rela hidup sebagai andartu daripada kena kahwin paksa dengan laki orang yang tak sedar diri macam awak, Encik Syarif!” jerkahku. Syarif langsung terdiam. Keadaan di pejabat sewaktu itu menjadi sunyi sepi. Masing-masing tidak mahu masuk campur perbalahan kami berdua. Ada bagusnya juga mereka tidak masuk campur. Sekurang-kurangnya tiada pihak akan menyokong jantan miang ni.

***

                Meskipun aku telah membuat haluan sendiri, namun hubungan aku dan Alesya tetap berjalan seperti dulu. Kami sering berhubung antara satu sama lain kerana dialah satu-satunya kawan baik aku. Aku mengajak Alesya berjumpa. Sungguh, Alesya banyak berubah! Dia sangat bergaya dan sangat menjaga penampilan diri. “Amboi, sejak-sejak pegang jawatan besar ni…bukan main bergaya lagi ye.” ujarku sambil mengusik. “Eh, tak adalah. Biasa je kot. Aku masih sama macam dulu. Cuma kena upgrade sikit je, bak kata bos aku penampilan kita kena setaraf dengan jawatan yang kita pegang, baru orang boleh respect.” ujar Alesya sambil menyelitkan sedikit nasihat. “Betul juga tu. Aku sokong!” sambil menunggu pesanan makanan yang dipesan tadi, aku sempat memerhatikan keadaan sekeliling. Tiba-tiba pandanganku terhenti melihat sebuah pasangan. Wajah yang sangat aku kenali! “Sya…cuba kau tengok sana tu?” ujarku sambil menunding jari kearah pasangan yang aku maksudkan. “Yang mana? Yang ada budak kecil 2 orang tu?” tanya Alesya. Aku menggangguk iya. “Aku rasa aku kenal lelaki tu…” ujarku sambil mataku tak lepas memandang wajah lelaki yang sedang melihat telefon bimbit. “Siapa?” tanya Alesya. “Hashrul.” Aku sangat yakin, lelaki itu adalah Hashrul. Meskipun penampilan dia sedikit berubah, wajahnya penuh dengan jambang, namun mata redup itu yang membuatkan aku cam akan wajahnya. “Kalau betullah itu Hashrul, habis tu yang 2 orang budak kecil tu, takkanlah anak-anak dia?” tanya Alesya. Aku pun kurang pasti. Hampir 10 tahun lebih aku tidak bertemu dengan lelaki itu. Entah bagaimana khabarnya juga aku tidak tahu. Seandainya benar Hashrul sudah berkahwin dan mempunyai anak, aku redha. Aku rela melepaskan dia dari ingatanku. Sudah tiada gunanya lagi untuk aku menanti cintanya. Meskipun tidak berbalas namun aku puas. Puas kerana memendam perasaan ini. Dengan tiba-tiba Alesya menarik tanganku. “Kau nak bawak aku kemana ni?” Aku melihat Alesya semakin mendekati meja di mana Hashrul berada. “Hai Ash! Ingat aku lagi tak?” sapa Alesya. Hashrul memandang dengan penuh hairan. “Alesya ke ni?” tanya Hashrul. “Ye, aku Alesya. Kau ni, tahulah kita ni dah tua, tapi janganlah tunjuk sangat pelupa tu.” ujar Alesya sambil bergurau kasar. “Kurang asam. Aku bukan lupa cuma aku tak berapa nak cam muka kau tadi. Fuhh makin bergaya kau sekarang. Kau masih kerja kat tempat sama ke?” ujar Hashrul. Aku hanya diam membatu. Sekejap aku bermain-main dengan 2 orang anak kecil itu. “Setia betul kau dengan tempat kerja kau ye. Eh, kejap. Kalau tak silap aku, ni kawan kau yang belanja aku dulu tu kan?” ujar Hashrul sambil memandang aku. Ya Allah, aku rindukan pandangan itu! “Ye, dia nilah yang belanja kau dulu tu. Leen nama dia. Jangan cakap kau dah lupa dia.” ujar Alesya sambil mencucuk jarum. “Ishhh mana boleh lupa, jasa orang kita kena kenang. Eh alang-alang korang dah ada kat sini, aku nak kenalkan ni bini aku, Siti dan dua orang budak kenit ni, anak-anak kitorang, Adam dan Arisya.” ujar Hashrul sambil menarik anak kecil itu dan duduk di pangkuannya. “Comelnya diorang ni.” ujarku sambil mengusik kedua anak kecil itu. “Mestilah comel, tengoklah bapak dia siapa.” ujar Hashrul, membangga diri. Alesya mencebik. “Hello, diorang comel sebab ikut muka mak dia.” jawab Alesya. Kitorang tertawa bersama. “Korang apa cerita? Takkan nak membujang sampai ke tua? Meh la, cari geng untuk anak-anak aku.” ujar Hashrul. “Eh, copppp! Sorry ye, aku mungkin takkan membujang sampai ke tua sebab aku dah ada calon, cuma si Leen ni je yang masih menunggu seseorang yang takkan jadi milik dia lagi.” ujar Alesya sambil berseloroh. Aku cepat-cepat mengajak Alesya beransur pergi. “Maaflah kitorang mengganggu korang sekeluarga. Just nak tanya khabar je tadi, maklumlah takut salah orang.” ujar Alesya sambil menyalami isteri Hashrul. “Eh, tak ada hal lah. Sekurang-kurangnya aku tahu yang aku ni masih popular di kalangan perempuan meskipun sekarang aku dah bergelar suami orang.” ujar Hashrul sambil memandang kami berdua. Senyuman itu…akan jadi senyuman terakhir untuk aku simpan. Ya, aku harus belajar untuk redha dan pasrah melepaskan semua ini. Berakhirlah kini penantian aku. Aku tidak meminta lebih, aku cuma ingin melihat dia bahagia bersama insan yang dia kasihi selama hidupnya. Biarlah aku cari kebahagiaan aku sendiri. Meskipun perih yang kutelan, aku terima dengan sepenuh hati. Asalkan kau bahagia…

TAMAT.


Bukan Aku by Tasha Manshahar

Tak mudah aku jalani, hidupku tanpamu di sisi
Hari-hari kutangisi, segala memori janji kumungkiri

Aku lepas semua pergi, bukan kerna aku benci
Tapi kernaku terlalu mencintai

Percayalah oh sayangku, nikmati dulu usiamu
Nanti kau temu cintamu, bukan aku

Engkau masih aku rindu, walau tak pernah engkau tahu
Hanya satu harapanku, moga kau selalu maafkan diriku

Aku lepas semua pergi, bukan kerna aku benci
Tapi kernaku terlalu mencintai

Percayalah oh sayangku, nikmati dulu usiamu
Nanti kau temu cintamu, bukan aku

Usah bimbang sayangku, nikmati dulu usiamu
Nanti kau temu cintamu, bukan aku.

P/S: Based on real story of my life.

Wasalam,
- Leenz

10 June 2020 - 3:31pm


10 May 2020

Takdir Cinta (Cerpen)

Takdir Cinta.

      “Result kau macam mana?” ujar Aufa dengan penuh teruja. “Lulus!” jawab Hani sambil menunjukkan kertas keputusan SPM yang baru sahaja dia ambil. “Kau pulak Arisha?” Arisha sekadar tersenyum sambil menunjukkan keputusan SPM yang semua orang tahu pasti dia akan dapat skor kesemua mata pelajaran. Arisha merupakan seorang pelajar pintar yang sangat dikagumi oleh rakan-rakan sebayanya. “Si Arisha ni kau tak payah tanyalah, kita semua dah tahu apa keputusannya. Dia ni pejam mata pun boleh jawab soalan.” Celah Aufa. Arisha tersipu malu sambil menampar bahu Aufa kerana suka mengusiknya. Selepas berhempas pulas mengulang kaji pagi petang siang malam, akhirnya mereka mendapat keputusan cemerlang di dalam kesemua mata pelajaran yang diambil. “So, apa plan korang lepas habis sekolah ni?” tanya Aufa. “Aku nak sambung belajar.” ujar Arisha. Kemudian pandangan mereka beralih pada Hani. “Aku nak kahwin!” jerit Hani. Ternganga Aufa dan Arisha mendengar jawapan dari mulut Hani. “Amboi, bukan main gatal lagi kau ye. Umur baru setahun jagung, ada hati nak kahwin. Belajar masak dulu, baru fikir pasal kahwin.” usik Aufa. Dalam kalangan mereka bertiga, Hani paling tidak pandai memasak mahupun membuat kerja rumah, ini kerana keluarga Hani tidak menggalakkan anak gadis mereka melakukan hal-hal sedemikian. Oleh itu, mereka telah mengupah seorang amah untuk melakukan tugasan rumah baik dari mengemas, memasak dan juga membasuh. “Mama aku tak bagi aku buat semua tu, dia kata nanti tangan aku yang cantik ni boleh rosak, jatuh hantaran aku nanti.” ujar Hani. Aufa mencebik muka. Manakala Aufa pula berhasrat ingin mencari pekerjaan untuk menambah pendapatan keluarganya. “Apapun yang kita lakukan di masa akan datang, aku harap kita takkan pernah putus persahabatan. Janji?” ujar Aufa. Hani dan Arisha menggangguk setuju. Petang itu, mereka meraikan kemenangan mereka kerana mendapat keputusan yang sangat memuaskan sebelum mereka bertiga membuat haluan masing-masing.

***

      Sedang asyik Aufa membelek buku novel yang terdapat diruangan novel, tiba-tiba dia disapa oleh seorang lelaki. “Aufa Sofea kan?” ujar lelaki itu. Aufa memandang hairan. “Siapa ya?” Lelaki itu tersenyum sipu. “Ashriq. Hafiz Ashriq, kawan sekelas awak dulu.” jawabnya. Aufa cuba mengingati setiap wajah rakan-rakan sekelasnya dulu. “ Ashriq… Ohhhh, yang dulu duduk kat meja belakang sorang-sorang tu, kan?” tanya Aufa. Ashriq tersengih. “Ye, sayalah tu.” Aufa tertawa kecil. “Macam mana kau boleh cam aku? Setahu aku, selama kita sekelas dulu, kau tak pernah pun tegur aku. Apatah lagi nak berbual.” ujar Aufa sambil memerli. “Sebab saya segan. Ini pun saya teragak-agak nak tegur tadi.” ujar Ashriq sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Apalah kau ni. Itupun nak segan. So, apa plan kau lepas SPM?” tanya Aufa. “Cari awak. Eh… maksud saya, saya bekerja. Saya tolong mak saya meniaga.” Aufa tertawa apabila Ashriq cepat-cepat mengubah ayatnya. “Baguslah kalau macam tu. Anak harapan keluargalah kiranya kau ni? Eh, aku dah jumpa novel yang aku nak. So, aku nak pergi bayar dulu lepas tu aku ada hal lain pulak lepas ni.” ujar Aufa sambil tergesa-gesa. Ashriq sekadar menggangguk faham. “Aufa…  Er…” Ashriq teragak-agak untuk meminta nombor telefon milik Aufa. “Ini kad nama aku, kat situ ada contact number. Janganlah segan-segan untuk whatsapp aku.” Aufa seakan memahami maksud Ashriq. “Ter…terima kasih.” ujar Ashriq. “No problemlah, kita kan kawan.” habisi Aufa sebelum dia berlalu pergi. Ashriq tersenyum bahagia setelah berjaya mendekati wanita yang dia sukai suatu ketika dahulu.

      “Mama, ini Hani Adira, kekasih Syamer.” ujar Syamer sambil memperkenalkan teman wanitanya kepada Puan Suhana, mama kepada Syamer. “Jadi, awaklah perempuan yang Syamer gila-gilakan selama ni?” ujar Puan Suhana. Hani menunduk malu. “Cantik. Tapi rupa tak penting. Yang penting, dia haruslah pandai memasak, mengemas dan menguruskan hal-hal rumah tangga jika ditakdirkan korang berdua berkahwin nanti.” Hani terkedu mendengarnya. “Mama janganlah risau, orang secantik Hani ni, mustahil dia tak pandai buat semua tu. As what you have said; don’t judge book by it’s cover, am I right, mama?” ujar Syamer. “Okay, mama pegang kata-kata Syamer tu.” Hani sudah menelan air liur apabila mendengar perbualan dua beranak itu. Sungguh, dia tidak pernah tahu bagaimana ingin melakukan kerja-kerja rumah seperti yang dikatakan oleh mama Syamer tadi. Bagaimana nasibnya apabila dia berkahwin dengan Syamer nanti? Hani seakan dapat meramal nasibnya akan datang.

***


      “Ash, kau selalu keluar dengan aku ni, girlfriend kau tak marah ke?” tanya Aufa sambil menyedot air minuman boba yang baru dibelinya tadi. “Girlfriend? Err… nak rapat dengan perempuan lain pun segan, apatah lagi nak ada girlfriend.” ujar Ashriq sambil tersengih. “Laaa yeke. Kau ni pemalu sangat kot. Ramai je perempuan kat luar sana yang dok usha-usha kau. Kau pun ada rupa, carilah sorang dua ke.” ujar Aufa. “Tapi, sebenarnya… saya ada suka seorang perempuan ni cuma saya tak rasa dia sukakan saya.” ujar Ashriq sambil menunduk sedih. “Kau ada propose dia ke?” tanya Aufa. Ashriq sekadar menggeleng. “Patutlah pun. Kau tak pernah propose dia, macam manalah dia nak tahu yang kau sukakan dia. Kau ni pun…” Aufa menggelengkan kepala melihat karenah Ashriq. “Tengok macam aku, aku ada suka dengan seorang lelaki ni, aku sendiri yang propose dia. Nampak macam perigi cari timba, kan? Tapi kalau aku tak buat macam tu, aku takut dia jatuh kat tangan perempuan lain. So, now I got him.” Ashriq ternganga mendengar cerita Aufa. “Maknanya awak dah ada boyfriend?” tanya Ashriq. Aufa mengiyakan. Ashriq terlihat sedih mendengar khabar tersebut. “Good luck Ash!” Aufa memberi semangat pada Ashriq supaya dia berani meluahkan perasaannya terhadap wanita yang dia sukai itu.

      “Hai Arisha. Saya Desmond, saya dengar awak mendapat dekan sebanyak 3 kali. Jadi saya nak minta tunjuk ajar dari awak tentang assignment yang pensyarah beri hari ini, boleh?” Arisha menggangguk setuju. “Mestilah boleh, buat apa kita nak kedekut ilmu. Benda yang baik, sebaiknya kita kongsi sama-sama. If you don’t mind, jom kita discuss sama-sama pasal assignment hari ni.” ujar Arisha sambil membelek buku rujukan berkaitan tugasannya. Desmond sempat mengerling kearah Arisha tanpa berkedip sedikitpun. “Cantiknya…” bisik Desmond. “Sorry? Awak cakap apa tadi?” tanya Arisha. Desmond tersedar dari lamunan. “Eh, tak ada apa-apalah. Desmond malu sendiri. Entah kenapa hatinya berdegup kencang apabila memandang Arisha. Adakah dia sudah jatuh cinta dengan gadis melayu itu?

      Hani cuba memutuskan hubungan dengan Syamer hanya kerana syarat yang diletakkan oleh Puan Suhana, mama Syamer yang menginginkan seorang menantu yang boleh membuat kerja rumah sedangkan Hani tidak tahu menahu soal itu selama seumur hidupnya. “We break.” ujar Hani. Syamer terkejut mendengar kata-kata Hani. “What? Kenapa tiba-tiba je you nak minta break? What’s wrong?” tanya Syamer, meminta penjelasan. “You know whatI tak bolehlah nak ikut syarat yang mama you dah tetapkan. Sebenarnya… I tak pandai langsung memasak, kemas rumah, mencuci. Seumur hidup I, I tak pernah buat semua tu. Selama ni, bibik yang uruskan.” jelas Hani. Syamer menangkup muka. Dia tidak menyangka alasan itu yang dijadikan oleh Hani untuk memutuskan hubungan. “Tak masuk akal alasan you nak putus dengan I sebab hal macam tu je. Semua tu boleh belajar. Kalau tak ada orang nak ajar you, mama I boleh ajarkan.” tegas Syamer. Hani terdiam. Dia mati kata untuk mencari alasan lain. “You dah gila ke? You nak suruh mama you ajarkan I, confirm dia akan tahu yang I tak tahu apa-apa. Cukuplah setakat ni je hubungan kita. I dah penat berpura-pura baik depan mama you.” Hani meluahkan segalanya. Syamer terdiam. Selama ni dia merasa tertipu sikap sebenar Hani. Baginya, Hani tidak ikhlas mencintainya. “Fine.” Syamer langsung pergi meninggalkan Hani tanpa sebarang kata. Hani merasa bersalah dengan perlakuannya terhadap Syamer.

***

      Arisha termenung jauh selepas mendengar berita yang baru sahaja disampaikan oleh orang tuanya. “Ada orang masuk meminang kamu, orangnya warak, baik dan budi pekerti, jadi ibu dan ayah dah pun terima peminangan tu bagi pihak Arisha. Ibu yakin dia calon yang paling sesuai untuk Arisha.” Arisha memejamkan mata. Dia keliru sama ada keputusan yang dibuat oleh orang tuanya itu yang terbaik baginya atau sebaliknya? “Berikan aku petunjukmu Ya Allah…” Arisha bermonolog. “Are you okay?” tegur Desmond yang tiba-tiba menerpa kearah Arisha. Arisha sedikit terkejut. “Maaf kalau saya mengganggu. Tapi sejak dari tadi saya nampak awak mengeluh. Are you really okay?” tanya Desmond. Arisha mengganguk lemah. “Saya okay, awak jangan risau.” ujar Arisha dengan lembut. “Jom saya belanja awak breakfast.” Arisha sekadar tersenyum setuju.

      “Kenapa dia buat aku macam ni? Apa kurangnya aku…” ujar Aufa sambil teresak-esak. “Maaf saya terlambat.” ujar Ashriq yang termengah-mengah sambil mendekati Aufa yang sedang duduk sambil menangkup mukanya. “Masa awak call saya tadi, saya tengah tolong ibu saya angkat tong gas. Lepas dari tu, baru saya kesini. Sebab tu saya lambat sikit.” Sambung Ashriq. Ashriq mendengar Aufa sedang teresak-esak. “Aufa…kenapa awak menangis? Siapa buat awak macam ni?” Ashriq cuba menenangkan Aufa. “Dia dah bertunang dengan perempuan lain, Ash. Apa kurangnya aku? Sampai hati dia buat aku macam ni…” Aufa tidak dapat menahan air matanya dari terus mengalir. “Sudahlah tu. Ini semua takdir. DIA yang menentukan segala-galanya. Awak kena redha dengan apa yang dah berlaku, semua ni pasti ada hikmahnya.” pujuk Ashriq.

      Hani hanya mengurungkan diri di dalam bilik sepanjang hari. Puas dipujuk oleh bibik untuk makan namun tiada respon dari Hani. Sehinggalah mama Hani, Puan Harsya sendiri yang mengetuk pintu bilik anaknya. “Hani Adira anak mama, kenapa ni? Buka pintu ni sayang…” Puan Harsya hairan melihat perlakuan anaknya sejak kebelakangan ni. Sekejap dia muram, sekejap dia menjadi pendiam. Setelah berkali-kali pintu diketuk, barulah Hani membukanya. Mukanya terlihat sembap. Rambutnya tidak terurus. “Astagfirullah… apa dah jadi dengan kamu ni, Hani? Kenapa tak terurus sangat ni?” Puan Harsya terkejut melihat anaknya tidak terurus. “Mama… I break with him.” ujar Hani sambil memeluk mamanya. Puan Harsya mengetahui akan hubungan Hani dan Syamer dan dia tidak menyangka Syamer menjadi penyebab utama anaknya bermuram durja. “Apa yang Syamer dah buat dengan anak mama ni? Tell me.” tanya Puan Harsya. “Syamer tak salah. Mama yang salah.” Puan Harsya terkejut apabila dirinya dipersalahkan. “Semua ni salah mama sebab mama tak pernah ajar Hani cara memasak, mengemas dan segala tugasan rumah. Hani bukan perempuan terbaik untuk Syamer sebab Hani tak pandai buat semua tu. Mama manjakan Hani sampai mama tak bagi Hani buat semua tu.” ujar Hani. “Hani, kita ada bibik. Mereka dibayar untuk buat semua tu.” ujar Puan Harsya. “Tapi Hani perempuan, perempuan kena buat semua kerja tu.” tegas Hani. Hani langsung ke dapur. “Bibik, tolong ajar saya cara memasak dan mencuci.” Amah yang berada didapur terkejut mendengar permintaan Hani. “Please, teach me how to cook immedietly.” ujar Hani. “Baiklah cik Hani.”

***

      Aufa terbungkam apabila menerima kad jemputan dari bekas kekasihnya yang kini telah menjadi tunangan wanita lain dan tidak lama lagi akan menjadi suami orang. “Kenapa kau sakitkan hati aku berkali kali.” Aufa tidak sanggup melihat nama yang terpapar di dalam kad jemputan tersebut. “Tak payahlah pergi. Buat sakit hati awak je nanti.” celah Ashriq sambil mengambil kad yang berada di tangan Aufa tadi. “Tak. Aku tetap nak pergi. Aku nak tahu siapa perempuan perampas tu! Aku nak rosakkan majlis diorang! Baru puas hati aku nanti.” ujar Aufa dengan penuh kemarahan. “Macam mana kalau tiba-tiba awak kalah dengan perasaan awak?” tanya Ashriq. Aufa terdiam. Dia tidak peduli. Dia harus pergi ke majlis tu. “Kau nak teman aku?” soalan Ashriq di balas dengan pertanyaan. Ashriq sekadar menggangguk. Ya, dia harus berada disisi wanita itu walau di mana pun ia berada.

      “Congrats Arisha, tak lama lagi awak akan jadi isteri orang. Saya tumpang gembira.” ujar Desmond. “Terima kasih. Tapi, seandainya awak tahu apa yang saya rasakan…” kata-kata Arisha terhenti disertai dengan tangisan kecil. “Kenapa awak menangis? Awak tak gembirakah?” tanya Desmond. Dia merasa cemas apabila melihat wanita itu mengalirkan air mata. “Desmond, sejujurnya… saya tak tahu siapa bakal suami saya. Semua ni diatur oleh orang tua saya. Saya tak mampu nak menolak kehendak mereka. Saya tak nak kecewakan mereka. Mereka dah banyak berkorban untuk saya. Saya tak nak jadi anak derhaka. Jadi, dengan menerima semua keputusan mereka, saya harap sedikit sebanyak dapat membalas jasa mereka. Tapi, hakikatnya… saya belum sedia untuk menerima semua ni.” ujar Arisha sambil teresak-esak. Desmond terbungkam mendengar penjelasan Arisha. Namun dia tidak mampu berbuat apa-apa selain menjadi pendengar setia wanita itu. “Awak memang anak yang baik kerana tidak pernah ingkar kata-kata orang tua awak. Sebab itu saya suka berkawan dengan awak. Tapi saya sebagai kawan, saya rasa sangat malu kerana tak mampu nak tolong awak.” ujar Desmond sambil melepaskan keluhan berat. “Tak apa Desmond. Saya redha dengan takdir saya. Jika ini yang terbaik buat saya, saya terima dengan hati yang ikhlas. Terima kasih Desmond kerana awak selalu mendengar keluhan saya. Saya harap lepas ni awak akan tetap menjadi kawan saya walaupun nanti saya sudah bergelar isteri orang.” ujar Arisha. “Arisha… saya mahu awak tahu sesuatu. Sejak dari awal lagi, saya… tak ada apalah.” Desmond tidak sanggup meneruskan kata-katanya. “Saya suka berkawan dengan awak. Saya harap kita akan tetap berkawan sampai bila-bila.” Desmond cuba mengalih ayat. ‘Saya sukakan awak, Arisha.’ bisik hati kecil Desmond.

      Syamer cuba mencari keberadaan Hani namun gagal. Telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi. Dia mulai merindui sosok seorang wanita bernama Hani Adira.  Meskipun mereka telah menemui kata putus, namun hatinya masih tidak mampu berpaling kepada wanita lain. Akhirnya Syamer mendatangi rumah Hani. “Apa khabar Syamer? Mama Syamer sihat?” ujar Puan Harsya. “Alhamdulillah, sihat. Aunty pula?” tanya Syamer kembali. “Alhamdulillah sihat. Syamer datang sini nak cari Hani ke?” ujar Puan Harsya. Syamer menggangguk iya. “Tunggu sekejap, aunty panggilkan Hani.” Selepas Hani diberitahu bahawa Syamer sedang menunggunya, dia langsung bersiap ala kadar supaya tidak ketahuan bahawa dia juga sedang merindui lelaki itu. Sewaktu Hani sedang mencari pakaian yang sesuai, tiba-tiba dia terlihat sehelai tudung berwarna merah jambu. Hani memadankan tudung tersebut dengan pakaian yang dipakai. Cantik! Hani cuba menyarungkan tudung berwarna merah jambu itu di kepalanya. Dia nekad untuk berhijab. Hani turun ke bawah untuk menemui Syamer yang sedang menunggunya. Syamer terkesima melihat Hani bertudung. Puan Harsya tersenyum lebar melihat perubahan anaknya. “Hani…” Syamer mati kata. Dia terpana melihat kecantikan Hani yang kini sudah berhijab. “Rindu I ke?” usik Hani. Syamer tersenyum malu. “I nak minta maaf sebab buat you kecewa dengan sikap I yang lepas.” ujar Hani. “Dan I nak minta maaf sebab tergesa-gesa memutuskan hubungan kita dulu.” sambung Hani. “I yang sepatutnya minta maaf sebab tak memahami diri you.” celah Syamer. “Maaf menggangu, Puan Harsya panggil untuk makan siang.” ujar bibik. Hani mengajak Syamer ke ruang makan di mana Puan Harsya sedang menunggu. “Duduk Syamer.  Kita makan tengah hari sama-sama.” jemput Puan Harsya. “Wah, nampak sedap. Aunty masak semua ni ke?” tanya Syamer sambil mencium bau masakan tersebut. “Guess what… Hani yang masak semua lauk pauk ni.” ujar Puan Harsya sambil menjeling kearah Hani yang sudah terlanjur malu. Syamer langsung berpaling kearah Hani untuk mendapatkan kepastian. Hani hanya tersenyum dan tertunduk malu. Syamer tidak tunggu lama, dia langsung menceduk lauk pauk yang berada di hadapannya. “Ya Allah…sedapnya!” pujian Syamer membuatkan Hani semakin malu. “Jom kahwin.” ujar Syamer tanpa dia sedar bahawa Puan Harsya sedang memerhatikan gelagat mereka berdua. Puan Harsya tersenyum bahagia melihat Hani sudah kembali ceria seperti dulu.

***

      “Are you ready?” tanya Ashriq, dia cuba meyakinkan Aufa untuk ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya, Mikhail. “Aku cuma berharap aku kuat nak hadap semua ni.” ujar Aufa. “Saya akan selalu ada dengan awak.” ujar Ashriq. Aufa tersenyum kecil mendengar kata-kata Ashriq. Dia merasa sangat dihargai kerana lelaki ini selalu ada dengannya tika dia sedih dan juga gembira. Sebaik sahaja pengantin sampai, Aufa seakan mengenali wajah isteri kepada bekas kekasihnya itu. “Ash, aku rasa aku macam kenallah isteri Mikhail tu.” ujar Aufa tanpa berganjak sedikitpun anak matanya kearah pengantin perempuan. “Ash, apa nama pengantin perempuan yang dalam kad jemputan tu?” tanya Aufa. Ashriq langsung meneliti nama yang tertera di kad jemputan tersebut. “Ari… Arisha Aleya. Eh, inikan kawan sekelas kita dulu?” ujar Ashriq sambil mengingati memori sewaktu di zaman persekolahan dahulu. Aufa terkejut mendengar nama kawan baiknya, Arisha. “Ya Allah… selama ni aku tertanya-tanya siapa perempuan yang telah merampas kebahagiaan aku. Aku tak sangka perempuan tu adalah kawan baik aku sendiri. Kawan baik aku yang telah lama hilang…” Aufa menunduk kekesalan. Entah dia harus marah atau sedih ataupun gembira. Sebelum berangkat pulang, Aufa terlebih dahulu ingin menemui pasangan pengantin dengan niat sekadar ingin mengucapkan tahniah. Mikhail terkejut melihat kehadiran Aufa di hari perkahwinannya. Sangkaannya wanita itu tidak akan hadir kerana patah hati. “Tahniah Arisha. Selama ni aku tercari-cari kau, tak sangka akhirnya aku dapat jumpa kau kat sini.” ujar Aufa. Arisha sedikit terkejut apabila kawan baiknya sewaktu zaman persekolahan dulu kini hadir di majlis perkahwinannya. “Aufa, Ya Allah…tak sangka dapat jumpa kau. Rindunya aku pada kau. Terima kasih tau sudi datang majlis aku. Eh, tapi… macam mana kau tahu aku kahwin?” tanya Arisha. Mikhail sedikit cemas mendengar pertanyaan isterinya itu. “Err… Ash. Ashriq yang ajak aku kesini. Dia yang dapat jemputan dari kawan dia. Aku teman dia je ni. Kau kenal dengan Ashriq kan? Kawan sekelas kita jugak dulu.” ujar Aufa yang cuba menukar kenyataan sebenar. Mikhail terkedu apabila Aufa tidak memberitahu hal yang sebenar. “Mestilah kenal. Dia kan dari dulu memang sukakan kau. Kau je yang tak pernah sedar.” ujar Arisha, selamba namun tidak kedengaran oleh Mikhail mahupun Ashriq, ianya antara Aufa dan Arisha sahaja. Aufa terdiam seketika selepas mendengar kata-kata Arisha. ‘Ashriq sukakan aku? Dari dulu? Benarkah semua ini?’ tanya hati kecil Aufa. “Arisha, aku kena gerak sekarang ni. Ada hal sikit. Aku ada letak nombor telefon aku pada buku guest tadi, nanti kau contactlah aku. Sorry, I got to go. By the way, congratulations for both of you.” ujar Aufa tanpa sedikit pun memandang kearah Mikhail. Sakit hatinya melihat wajah yang pernah mematahkan semangatnya suatu ketika dulu.

      “Ash, terima kasih sebab teman aku ke majlis ni. Terima kasih juga sebab kau selalu bagi aku semangat untuk hadap semua ni. Aku dah boleh terima dah semua ni. Aku dah redha. Aku yakin Allah itu adil. Dia paksa hati aku untuk kesini sebab dia nak pertemukan aku dengan kawan baik aku dulu, Arisha. Dan siapalah aku untuk melawan takdir. Aku rela korbankan perasaan aku, asalkan kawan baik aku bahagia dengan lelaki pilihan dia. Aku happy bila tengok dia bahagia dengan Mikhail.” ujar Aufa, melepaskan semua beban yang terbuku difikirannya selama ini. “So, sekarang tinggal kau je Ash.” ujar Aufa. Ashriq terpinga-pinga. “What?” Aufa tersenyum sinis. “Kau dah propose perempuan yang kau suka tu?” tanya Aufa. Ashriq menggeleng tandanya belum lagi. “Kau nak biar dia tunggu sampai bila? Nak tunggu kau melepas lagi? Dia tengah single tu kan? Cepatlah propose.” Aufa memberi tanda isyarat. Ashriq mulai cemas. Adakah Aufa mengetahui isi hatinya? “Tapi saya…” Ashriq teragak-agak untuk meluahkan perasaannya terhadap Aufa. “Hafiz Ashriq, sudi tak awak halalkan hubungan kita ni?” ujar Aufa sekaligus membuatkan Ashriq terbungkam. Bulat matanya mendengar lamaran dari Aufa. “Aku tak nak orang yang aku sayang terlepas ke tangan orang lain lagi. Kali ni aku tak akan izinkan.” tegas Aufa. Terkebil-kebil mata Ashriq memandang Aufa yang sangat berani meluahkan isi hatinya. “Apa yang awak kaku kat situ, cepatlah bawa parent awak jumpa dengan parent saya. Benda baik, lebih baik kita cepatkan. Jom!” ujar Aufa sambil menarik Ashriq pergi. Ashriq tersenyum bahagia kerana akhirnya dia dapat memiliki wanita yang sangat dia cintai dari dulu lagi.


***

      Ashriq membuat sebuah reunion kecil antara dia dan rakan-rakan sekelasnya yang lain di sebuah café. Tujuan dia membuat perjumpaan ini adalah kerana ingin menemukan kembali Aufa dan kawan-kawan baiknya dahulu iaitu Hani dan Arisha. “Aufa Sofea?” tegur Hani yang sejak tadi memerhatikan Aufa dari jauh. “Hani Adira! Ya Allah…lamanya tak jumpa kau.” Aufa langsung memeluk rakan baiknya itu. Auchhh. Hani mengundur sedikit untuk memberi ruang pada perutnya yang mulai membesar. “Upsss…sorry Hani, aku tak sengaja. Dah berapa bulan kandungan kau ni?” tanya Aufa. “Nak masuk 6 bulan dah tapi nampak kecil je kan.” jawab Hani. “Tengoklah, orangnya pun kecil. Eh, mana Arisha? Dari tadi aku mencari dia.” tanya Aufa sambil melihat sekeliling. Kelihatan seorang wanita sedang bergandingan dengan lelaki yang sangat dia kenali. “Arisha!” jerit Aufa. Hani langsung mendapatkan Arisha yang tidak jauh dari situ. Lama benar dia tidak mendengar khabar kawan-kawan baiknya itu. “Arisha, sorry aku tak dapat datang majlis kahwin kau. Kau pun sama Aufa. Aku betul-betul lost contact dengan korang. Nasib baiklah Ashriq ada hantar invitation di facebook, kalau tak…memang sampai bila-bila pun aku tak dapat jumpa dengan korang dah.” ujar Hani. “Rindu korang juga tapi aku tak boleh lama-lama kat sini…” ujar Arisha. “Eh, kenapa pulak?” tanya Aufa. “Biasalah, trimester ni buat aku tak tenang hidup. Asyik nak muntah je.” ujar Arisha. “Seriously….??? Ya Allah, tahniah Arisha!” ujar Hani dan Aufa serentak. “Oh ye, cakap pasal Ashriq… mana dia?” tanya Arisha. “Dia kat bilik rehat kot. Maklumlah, morning sickness macam Arisha. Aku dah cakap dengan dia tak payah teruskan plan reunion ni, tapi dia nak juga. Hadaplah…” jelas Aufa. “Maksud kau? Takkanlah Ashriq pregnant pulak?Hani sedikit blur. “Ishhh kau ni, kesitu pulak.” ujar Aufa. “Simptom ibu mengandung ni kadang-kadang boleh berjangkit pada suami. Kadang tu, bini rilek je, lelaki pulak yang kena teruk.” ujar Aufa. “Ashriq muntah-muntah? Maksud kau…kau pun tengah pregnantlah ni?” tanya Arisha. Aufa sekadar tersenyum sipu. “Ya Allah, cantiknya takdir yang kau tentukan ini. Aku harap persahabatan kita ni jatuh pada anak-anak kita nanti dan semoga ianya berkekalan sehingga ke anak cucu. Amin.”

END.

Takkan Terlerai by Syamel ft Ernie Zakri

Zahirkan apa yang kau rasa, jujurkan segala kebenaran

Berat hatiku meluahkan, tersudut menunggu kau bertanya
Biarkan waktu menyembuhkan, yang pudar kembali bercahaya

Andai teguh takdir kita, jauh terpisah bertaut jua
Usah ada sesiapa, mendustakan cinta

Segala rasa tercipta tertutup usia, takkan terlerai
Takkan terlerai

Kujalinkan serpihan luka, tak berdaya menanggung rasa
Terungkai semua resah jiwa, bahagia selamanya

Berat hatiku meluahkan, tersudut menunggu kau bertanya
Biarkan waktu menyembuhkan, yang pudar kembali bercahaya

Andai teguh takdir kita, jauh terpisah bertaut jua
Usah ada sesiapa, mendustakan cinta

Andai teguh, biar terpisah'kan bersama
Usah ada sesiapa, mendustakan cinta

Segala rasa tercipta tertutup usia
Takkan terlerai, takkan terlerai.

Wasalam.
- Leenz

10 May 2020 - 1.55pm